Pasukan MALBATT di Lubnan selamat

Iklan
Mohamed Khaled

SHAH ALAM - Kementerian Pertahanan mengesahkan Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-11 yang berada di Lubnan dalam keadaan selamat.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, semua pasukan di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) termasuk pasukan MALBATT 850-11 yang beroperasi di Selatan Lubnan telah mengaktifkan perlindungan di dalam kubu.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, langkah keselamatan itu dilakukan mengikut prosedur yang telah ditetapkan sehingga keadaan terkawal.

"Susulan daripada situasi yang berlaku di Selatan Lubnan, saya ingin memaklumkan bahawa status semasa pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-11 adalah dalam keadaan selamat dan tiada sebarang kemalangan jiwa mahupun kerosakan aset telah berlaku,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Iklan

Jelasnya, kesemua pasukan di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) termasuk pasukan MALBATT 850-11 yang beroperasi di Selatan Lubnan, juga telah diarahkan untuk tidak melaksanakan operasi rondaan atau pergerakan logistik dan kekal di penempatan masing-masing.

"Sebarang perancangan untuk penarikan balik pegawai dan anggota pasukan MALBATT 850-11 ke Malaysia adalah tertakluk kepada kelulusan UNIFIL berdasarkan tahap keselamatan dan ancaman di dalam kawasan operasi.

Iklan

"Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan terus memantau situasi di Selatan Lubnan dan akan mengemaskini sebarang perkembangan melibatkan pasukan MALBATT 850-11,” katanya

Serangan Israel ke atas Lubnan mengakibatkan lebih 200,000 penduduk kehilangan tempat tinggal dengan lebih 100,000 orang daripada jumlah itu melarikan diri ke Syria.

Pejabat PBB untuk Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) memberi amaran bahawa bilangan penduduk yang kehilangan tempat tinggal dijangka meningkat berikutan tentera Israel terus mengeluarkan arahan memaksa orang ramai berpindah.

Sebanyak 30 kampung di selatan Lubnan antara mereka yang terpaksa berpindah susulan arahan yang dikeluarkan pada Isnin dan Selasa.