Transaksi tanpa tunai mudahkan penduduk Felda

Iklan
Mohd Faizal (tiga dari kanan) dan Shahrizal (dua dari kanan) melihat urusan transaksi tanpa tunai penduduk sempena program Cashless@NADI Felda Jenderak Utara pada Rabu.

TEMERLOH - Kira-kira 3,000 penduduk di Felda Jenderak Utara menikmati kemudahan transaksi tanpa tunai menerusi pelancaran Cashless@NADI Felda Jenderak Utara di sini pada Rabu.

Dengan kemudahan tersebut, penduduk tidak perlu lagi menempuh perjalanan sejauh lapan kilometer ke bandar Kuala Krau untuk mendapatkan kemudahan mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

Iklan
Iklan

Ketua Peneroka Felda Jenderak Utara, Mohd Salim Muda berkata, penduduk sekitar kawasan itu sudah dapat menerima perubahan daripada penggunaan wang tunai kepada tanpa tunai melibatkan transaksi jual beli dan pemindahan wang.

Mohd Salim

"Penduduk di sini tidak berasa kekok kerana kebanyakannya memiliki telefon pintar dan anak-anak mereka sudah mengajar kaedah untuk membuat transaksi pembayaran atau pemindahan wang tanpa tunai.

Iklan

"Pihak Felda juga membuat pembayaran kepada peneroka dengan memasukkan wang terus ke dalam akaun bank dan mereka kemudiannya berbelanja di pasar raya hanya menggunakan kad debit bank bagi membuat pembayaran," katanya.

Beliau ditemui selepas majlis pelancaran program itu yang disempurnakan Pengurus Felda Jenderak Utara, Mohd Faizal Fauzi mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jenderak, Datuk Rodzuan Zaaba.

Iklan

Hadir sama, Pengarah Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) Pahang, Shahrizal Hussin.

Jelas Mohd Salim, kemudahan itu juga dapat menjimatkan masa dan kos tanpa perlu keluar ke Kuala Krau untuk mengeluarkan wang tunai dari bank.

"Boleh dikatakan mereka amat teruja dengan kemudahan terbaharu ini dan sedia mengikut peredaran zaman tanpa ada penolakan," tambahnya.

Bagi seorang usahawan kerepek, Zaliha Abdul Rahman, 60, kemudahan itu terbukti berjaya melonjakkan 30 peratus hasil jualannya.

Zaliha

"Dengan kemudahan ini juga memudahkan urusan dengan pembekal kerana mereka lebih yakin untuk menghantar bekalan kerana boleh membuat transaksi dengan lebih cepat dan selamat," jelasnya.

Seorang penduduk, Rozana Ahmad, 38, turut mengalu-alukan kemudahan itu yang memberikan keselesaan untuk mereka melakukan transaksi tanpa tunai.

Rozana

"Dengan liputan Internet di sini yang boleh dikatakan memuaskan, ia juga membantu kelancaran transaksi di sini" jelasnya lagi.

Sementara itu, Mohd Faizal memberitahu, pihaknya amat berbesar hati kerana sambutan menggalakkan oleh penduduk setempat selain berharap mereka dapat menggunakan aplikasi tanpa tunai dengan bijak.

Di Pahang, program tersebut dilaksanakan di 15 lokasi termasuk di Felda Jenderak Utara untuk tahun ini.