Pelaburan Oracle cerminkan keyakinan syarikat teknologi global terhadap Malaysia - PM

Iklan
Anwar

KUALA LUMPUR - Keputusan pelaburan oleh Oracle mencerminkan keyakinan dan komitmen syarikat dunia terhadap potensi Malaysia sebagai pintu masuk bagi infrastruktur awan dan menyokong pertumbuhan ekosistem kecerdasan buatan (AI) serantau, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, menyambut baik pengumuman Oracle, terkait pembukaan pusat awan awam pertamanya di Malaysia dengan pelaburan bernilai AS$6.5 bilion (AS$1=RM4.15).

Iklan
Iklan

"Kejelasan dasar dan pendekatan kerjasama strategik yang dilaksanakan Kerajaan Madani telah berjaya menarik pelaburan daripada syarikat teknologi utama dunia seperti Amazon Web Services, Microsoft, Google dan terkini Oracle.

"Keseluruhan projek yang diumumkan oleh syarikat-syarikat ini sehingga kini melibatkan pelaburan keseluruhan yang dianggarkan bernilai AS$16.9 bilion (RM70.3 bilion),” kata beliau menerusi hantaran di platform X pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata, penting bagi tenaga kerja dan syarikat tempatan merebut peluang sebaiknya daripada pelaburan-pelaburan ini.

"Dalam beberapa siri perbincangan bersama pelabur termasuk pengurusan tertinggi syarikat-syarikat tersebut, saya tekankan kepentingan perluasan manfaat jangka panjang kepada Malaysia, termasuk pembangunan pusat kecemerlangan, fakulti AI dan pemerkasaan kumpulan masyarakat.

Iklan

"Saya yakin dengan sokongan semua pihak, matlamat dan sasaran Ekonomi Madani akan dapat dicapai, Insya-ALLAH,” kata beliau.

Terdahulu hari ini, Oracle menjelaskan pusat awan yang akan diwujudkan itu membolehkan pelanggan dan rakan kongsinya di Malaysia memanfaatkan infrastruktur dan perkhidmatan AI dan memindahkan beban kerja yang penting kepada"Oracle Cloud Infrastructure” (OCI).

Pusat awan awam yang dirancang itu akan membantu organisasi di Malaysia memodenkan penggunaan mereka, memindahkan semua jenis beban kerja kepada awan, dan berinovasi dengan data, analitik dan AI, tambah firma teknologi komputer itu. - Bernama