Tindakan Najib jelas menunjukkan kepentingannya dalam 1MDB - Pendakwaan

Iklan
Najib hadir bagi mengikuti prosiding hujahan akhir pendakwaan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya di Mahkamah Tinggi hari ini. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa tindakan dan kelakuan Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pelbagai insiden berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) jelas menunjukkan beliau mempunyai kepentingan peribadi dalam dana kekayaan negara itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib berkata, menjadi tanggungjawab pihak pendakwaan membuktikan penglibatan dan kepentingan bekas Perdana Menteri itu dalam 1MDB úntuk memperoleh keuntungan haram, atas empat pertuduhan penyalahgunaan kuasa.

Iklan
Iklan

Beliau berkata demikian dalam hujahan pada akhir kes pendakwaan dalam perbicaraan Najib atas tuduhan penyelewengan dana 1MDB berjumlah RM2.3 bilion.

"Satu daripada kejadian utama apabila Najib dilihat melindungi kepentingan peribadinya dalam syarikat ialah penukaran nama daripada Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) kepada 1MDB.

Iklan

"Pegawai khas Najib SP8 (saksi pendakwaan kelapan) Amhari Effendi Nazarudin mengesahkan bahawa tertuduh mahu TIA menjadi kenderaan khas untuk pelaburan strategik di luar negara dengan ahli perniagaan yang diburu Low Taek Jho atau Jho Low bertindak sebagai pengarah.

"Tidak lama selepas TIA diambil alih oleh Kementerian Kewangan, dengan tertuduh ialah Menteri Kewangan pada masa itu, nama telah ditukar kepada 1MDB pada 25 September 2009.

Iklan

"Bukti menunjukkan bahawa tertuduh menyebabkan pindaan dibuat terhadap Artikel 117, 68 dan 93 Memorandum & Artikel 1MDB untuk meletakkan dirinya sebagai pengawal muktamad bagi perkara penting berkaitan perniagaan dan hal ehwal syarikat," katanya.

Ahmad Akram turut berhujah bahawa bekas Pengerusi 1MDB, Tan Sri Mohd Bakke Salleh iaitu SP15 telah memberi keterangan bahawa semasa mesyuarat lembaga pengarah (BOD) pada 26 September 2009, Jho Low yang bukan sebahagian daripada 1MDB, telah menyerahkan telefonnya kepada Mohd Bakke, dengan tertuduh berada dalam talian.

"Tertuduh yang berada dalam talian mengarahkan BOD membuat keputusan untuk memuktamadkan usaha sama dengan Petrosaudi International berjumlah AS$1 bilion walaupun berdepan kegagalan mengumpul dana RM5 bilion daripada IMTN (Bon Nota Jangka Sederhana Islam).

"SP15 turut memberi keterangan bahawa tertuduh meminta beliau melupakan kisah lepas yang merujuk kepada isu IMTN. SP15 memberi keterangan bahawa pada masa perbualan telefon itu, BOD masih membuat pertanyaan berhubung IMTN. SP15 juga berkata keputusan untuk tidak merekodkan perbualan telefon itu dalam minit mesyuarat adalah untuk melindungi tertuduh," katanya.

Semasa Najib memegang jawatan, Ahmad Akram berhujah bahawa kerajaan Malaysia telah mempercepat pengeluaran jaminan kerajaan (GG) untuk pinjaman baharu sebanyak AS$3 bilion pada 2013 oleh anak syarikat 1MDB tanpa mengikuti prosedur yang betul kerana GG itu dikatakan sebagaimana yang Najib mahukan.

"Surat Sokongan bertarikh 14 Mac 2013 ditandatangani oleh tertuduh sebagai Menteri Kewangan secara efektif bertindak sebagai jaminan kerajaan untuk hutang AS$3 bilion, bermakna kerajaan Malaysia perlu menanggung hutang itu jika anak syarikat 1MDB tidak dapat membuat pembayaran balik.

"Pengumpulan dana AS$3 bilion pada 2013 berlaku sekelip mata dan menurut SP42 bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah, yang memberi keterangan bahawa tertuduh mengarahkan beliau untuk mempercepat urusan itu pada Januari 2013 dan susulan arahan itu, pengumpulan bon berkenaan dibuat tanpa ketelitian sewajarnya dan hanya berdasarkan beberapa helai dokumen yang dibekalkan 1MDB," kata Ahmad Akram.

Ahmad Akram berkata, Najib juga secara sistematik telah menyingkirkan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah daripada mengendalikan urusan 1MDB apabila tertuduh tidak menghiraukan amaran Ahmad Husni berkenaan penubuhan 1MDB dengan mengatakan,"Saya akan teruskan".

"Ahmad Husni, yang merupakan saksi pendakwaan ke-20 memberi keterangan bahawa beliau menyuarakan kebimbangan dan menasihatkan keperluan mengikuti protokol, dengan mencadangkan kepada Najib supaya kajian kebolehlaksanaan dilakukan untuk mendapatkan gambaran jelas berhubung sifat perniagaan serta risiko dan liabiliti yang terlibat.

"Ketika itulah SP20 menyedari bahawa kehadirannya dan pandangannya tidak diterima dalam urusan berkaitan 1MDB. Selepas itu, SP20 cuba untuk berbincang dengan tertuduh mengenai perjanjian usaha sama Petrosaudi-1MDB, namun tertuduh dengan tegas menjawab, 'Husni, (bermula) hari ini, anda tidak perlu terlibat. Saya tidak mahu anda campur tangan dalam 1MDB'," katanya.

Ahmad Akram berkata, tindakan ini jelas menunjukkan Najib mempunyai kepentingan dalam 1MDB apabila beliau mengetepikan Ahmad Husni sebagai satu-satunya individu yang mempunyai pengaruh terhadap syarikat itu dalam Kementerian Kewangan.

Najib, 71, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB di AmIslamic Bank Berhad cawangan Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014.

Beliau turut berdepan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama di bank sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

Najib didakwa di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 4(1)(a) Akta Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan.

Penghujahan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah diteruskan. - Bernama