118,093 pengguna di SPT, SPS alami gangguan air 24 jam Jumaat ini

Iklan
Kira-kira 118,093 pengguna air di kawasan SPT dan SPS akan mengalami gangguan bekalan air berjadual dari jam 10 malam, Jumaat hingga 10 malam, Sabtu ini.

GEORGE TOWN - Kira-kira 118,093 pengguna air di 41 kawasan di Seberang Perai Tengah (SPT) dan hampir seluruh daerah Seberang Perai Selatan (SPS) akan mengalami gangguan bekalan air berjadual (SWSI) dari jam 10 malam, Jumaat hingga 10 malam, Sabtu ini.

Antara kawasan di SPT yang terjejas ialah Taman Arowana, Seberang Jaya (Tuna, Tenggiri, Kelisa Emas, Kikik, Hospital Seberang Jaya, Jalan Carrefour, Kampung Surau, Todak, Sembilang, Jelawat), Taman Arowana Emas, Kampung Pertama, Taman Pasir Indah, Pekan Permatang Pauh, Taman Janggus, Taman Hj Md Amin dan Politeknik Seberang Perai.

Iklan
Iklan

Sementara itu, di SPS seluruh kawasan di daerah itu akan mengalami gangguan bekalan air kecuali beberapa kawasan yang akan mengalami tekanan air rendah iaitu Bukit Panchor, Jalan Permatang Tok Mahat, Jalan Transkrian, Jalan Sungai Acheh, Sungai Bakau, Jalan Sungai Kechil, Jalan Sempadan dan Jalan Sungai Udang.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk K Pathmanathan berkata, SWSI itu diperlukan untuk membolehkan PBAPP membaiki kebocoran paip yang telah menjejaskan perkhidmatan bekalan air di SPT dan SPS.

Pathmanathan

Iklan

Menurutnya, pada Jumaat ini, bahagian saluran paip baharu sepanjang 180 meter akan disambung berhampiran kampus Politeknik Seberang Perai di Permatang Pauh.

"Saluran paip baharu ini akan menggantikan bahagian saluran paip yang telah dirosakkan oleh kontraktor syarikat utiliti lain kira-kira dua minggu lalu. Kerja-kerja pembaikan dianggarkan bernilai kira-kira RM2 juta.

Iklan

"PBAPP akan menggerakkan lori tangki air dan tangki air statik ke lokasi strategik di SPT dan SPS ketika pelaksanaan SWSI ini. Bagaimanapun, pengguna di kawasan terlibat diingatkan supaya menyimpan air untuk kegunaan selama 24 jam iaitu sepanjang tempoh kerja-kerja itu dijalankan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambahnya, PBAPP akan berusaha untuk menyelesaikan semua kerja air dan kerja normalisasi bekalan air seperti yang dirancang dan dijadualkan.

"Kami juga akan mengemaskini secara berkala mengenai kemajuan kerja di tapak kerja melalui Facebook PBAPP.

"PBAPP memohon maaf atas segala kesulitan yang akan berlaku. Kami mohon kefahaman dan kerjasama yang baik daripada pengguna air khususnya di SPT dan SPS," katanya.