Shafie Apdal senada Hajiji, Abang Jo tambahan satu pertiga kerusi Parlimen

Iklan
Mohd Shafie

KOTA KINABALU - Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal senada dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berhubung keperluan untuk menambah kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, tiada penambahan kerusi Parlimen di peringkat Sabah sejak negara mencapai kemerdekaan sedangkan ia termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Iklan
Iklan

"Cuma ada sekali saja, bila tambah di Kalabakan iaitu Tawau kita pecah satu kerusi di situ, tidak banyak. Jadi dalam amalan biasa ia dalam jangka masa 10 tahun kerusi ini boleh diubah, ditambah.

"Tapi asasnya? Satu MA63, itu memang termaktub dalam perjanjian di mana satu pertiga daripada kerusi Parlimen sepatutnya diagihkan kepada wilayah yang ada, sama ada Tanah Melayu Semenanjung, Sabah, Sarawak, waktu itu Singapura. Tapi bila Singapura keluar Malaysia, kerusi dari Singapura langsung tidak dibagi kepada Sabah," katanya dalam sidang akhbar pada Majlis Sembang Santai Bersama Media di sini pada Rabu.

Iklan

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, sudah tiba masanya untuk pelaksanaannya dengan mengambil kira pertambahan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang kini sudah mencapai 73 kerusi ketika ini.

"Jadi kalau kita lihat satu kawasan Parlimen sampai empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). Jadi bayangkan kawasan yang ada di Sabah ini besar kawasannya. Kinabatangan dan Lahad Datu itu besar daripada Perlis, Perlis saja sudah ada tiga ahli Parlimen tapi di Kinabatangan, satu saja (ahli Parlimen)," katanya.

Iklan

Jelas beliau lagi, pindaan sempadan bukan hanya bergantung kepada kawasan tetapi jumlah pengundi yang ada.

"Kadang-kadang itu perlu ada perhitungan dari segi banyaknya pengundi, jadi ia sangat sukar untuk diuruskan tetapi dalam masa sama terlalu banyak DUN yang ada.

"Jadi keberkesanan dari segi pentadbiran rakyat yang memerlukan perhatian daripada pimpinan yang ada, jadi bukan mudah," katanya.

Sehubungan itu, beliau yang juga bekas Ketua Menteri Sabah memberi penekanan sudah tiba masanya untuk melakukan penambahan jumlah kerusi Parlimen dengan mengambil kira dua faktor tersebut.

"Ini masanya untuk kita perlukan tambahan supaya suara-suara rakyat yang ada lebih ketara, lebih jelas, dapat didengar, bukan hanya di DUN bahkan juga di Parlimen.

"Tambahan kerusi itu, saya amat setuju dengan Abang Jo (Abang Johari) dan juga Hajiji kalau perkara ini dibawa ke Parlimen, saya akan beri sokongan yang penuh untuk membolehkan supaya kita lakukannya," katanya.