KKM tubuh pasukan khas siasat kes kematian pakar perubatan patologi

Iklan
Insiden kes kematian pakar perubatan patologi yang didakwa akibat dibuli di tempat kerja.

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menubuhkan pasukan petugas khas bebas bagi menyiasat insiden kes kematian pakar perubatan patologi dari Hospital Lahad Datu, Sabah yang didakwa akibat dibuli di tempat kerja.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pasukan petugas khas yang dianggotai lima ahli bebas itu akan berkuat kuasa pada 10 Oktober 2024.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, kesemua ahlinya bukan anggota KKM namun mempunyai pengetahuan dan kepakaran dalam pelbagai bidang seperti perubatan, psikiatri, patologi, kesihatan mental serta perlakuan buli.

"Pasukan petugas khas ini akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Borhan Dollah. Manakala ahli lain adalah mantan Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Profesor Datuk Dr Siti Hamisah Tapsir dan bekas Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Datuk Dr Azman Abu Bakar.

Iklan

"Selain itu, ahli lain ialah Ahli Lembaga Pihak berkuasa Peranti Perubatan, Datuk Mohamad Fazin Mahmud; Perunding kanan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Datuk Profesor Dr Looi Lai Meng dan Pakar Perunding Kanan (Psikiatri) di jabatan Psikiatri Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr Chan Lai Fong," ujarnya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sebelum itu, tular satu muat naik di Facebook yang memaklumkan seorang doktor yang ditemui mati di kediamannya di Lahad Datu, Sabah, pada 29 Ogos lalu didakwa disebabkan tindakan bunuh diri, berikutan tidak tahan dibuli oleh ketua jabatannya.

Iklan

Perkara itu didedahkan adik mangsa, dikenali sebagai YS Tay yang mendakwa kakaknya, Tien Yaa, ditindas oleh ketua jabatan selain menghadapi tekanan sepanjang bertugas di unitnya akibat beban kerja melampau.

Tambah Dzulkefly, pasukan petugas khas berperanan menganalisis input daripada siasatan insiden kematian pakar patologi kimia di Lahad Datu secara khusus serta meneliti budaya kerja di Hospital Lahad Datu.

"Mereka juga akan mengesahkan sama ada wujud perlakuan buli di Hospital Lahad Datu secara umum dan di Jabatan Patologi Hospital Lahad Datu secara khusus.

"Peranan seterusnya adalah mengenal pasti jenis perlakuan buli yang cenderung berlaku di KKM serta faktor dalaman dan luaran yang menyumbang kepada perlakuan tersebut.

"Seterusnya menyediakan laporan hasil siasatan berkaitan insiden kematian individu tersebut serta cadangan penambahbaikan bagi mencegah dan menangani perlakuan buli di fasiliti kesihatan dalam masa tiga bulan dari tarikh penubuhan," katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa KKM sentiasa komited untuk memperbaiki persekitaran kerja supaya lebih harmoni dan kondusif.

"KKM yakin usaha ini akan membuahkan hasil dan mendapat kerjasama daripada semua warga selaras dengan visi untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik untuk Malaysia Madani," jelasnya.