FAM terus cari pemain warisan berkualiti perkuatkan Harimau Malaya

Iklan
Foto Facebook FAM

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) terus terbuka untuk mencari dan menerima pemain warisan berkualiti dari luar negara bagi memperkuatkan pasukan kebangsaan serta meningkatkan prestasi di peringkat antarabangsa.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi menegaskan insiden penolakan pemain kelab Go Ahead Eagles dari Belanda Mats Deijl oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) tidak akan mematahkan semangat badan induk itu untuk terus mencari pemain warisan yang mampu meningkatkan daya saing pemain tempatan.

Iklan
Iklan

"Saya berharap adanya beberapa pemain warisan yang berpengkalan di luar negara ini tidak ‘membantutkan’ usaha kita untuk meneruskan atau mendapatkan pemain terbaik bagi meneruskan agenda kita untuk memperkuatkan pasukan nasional.

"Walaupun kita nampak usaha untuk mendapatkan (Mats Deijl) itu gagal, kita juga harus ucapkan terima kasih kepada beliau kerana hasrat murni (bermain untuk) Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Perjanjian di antara FAM & Warner Music Malaysia di sini hari ini.

Iklan

Projek pertama kerjasama itu adalah menghasilkan lagu rasmi untuk Harimau Malaya yang dijangka dilancarkan selewat-lewatnya Mac tahun depan sebelum Pusingan Akhir Piala Asia 2027 berlangsung dari 17 hingga 25 Mac.

Ditanya tentang kemungkinan skuad Harimau Malaya dibarisi sepenuhnya oleh pemain warisan, Mohd Yusoff menjelaskan kehadiran pemain warisan adalah untuk meningkatkan kualiti permainan dan memberi saingan kepada pemain tempatan, bukan untuk sepenuhnya menggantikan mereka.

Iklan

"Saya fikir faktor ini hanya pemangkin menimbulkan ataupun meletakkan tahap nasional team ini baik sikit, kalau kita lihat beberapa tahun lepas, pemain nak mewakili negara pun agak sukar.

"Kalau ada 11 Arif Aiman Hanapi (Pemain sayap kanan Johor Darul Ta'zim), tentulah kita tak perlukan pemain luar negara contohnya, tapi untuk mencapai atau mendapatkan tahap itu, kita perlu menjadikan pasukan yang ada mampu bersaing, kalau tak, ada pemain yang akan keluar daripada proses itu,” katanya.

FAM semalam mengesahkan pemain kelab Go Ahead Eagles dari Belanda Mats Deijl tidak melepasi syarat kelayakan untuk mewakili Malaysia melalui darah keturunan melalui surat bertarikh 25 Sept oleh FIFA. - Berama