Ahli Parlimen boleh hantar usul undi tidak percaya bila-bila masa - Johari

Iklan
Johari ketika bercakap kepada pemberita di Kuantan pada Rabu.

KUANTAN - Semua ahli Parlimen termasuk pembangkang boleh menghantar notis rasmi berhubung usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada bila-bila masa sahaja.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, setakat ini sehingga Rabu, beliau tidak menerima sebarang usul tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tiada tempoh tertentu untuk menghantar notis berkenaan namun adalah menjadi kuasa Speaker untuk melihat sama ada usul itu wajar atau tidak.

"Untuk memungkinkan usul tidak percaya itu terjadi, perlu menghantar notis usul tidak percaya itu terlebih dahulu kepada saya.

Iklan

"Mesyuarat ketiga Parlimen untuk penggal ini akan bermula pada 14 Oktober ini dan berakhir sehingga 12 Disember dan tidak nampak lagi percubaan untuk menghantar usul undi tidak percaya itu sama ada melalui panggilan telefon, emel, ataupun daripada surat menyurat," katanya dalam sidang media di sini pada Rabu.

Johari (tengah) bersama wakil sekolah yang terlibat sempena Majlis Pelancaran Akademi Menara Gading 2.0 YASA-Next Generation Accelerator Programme (AMG Next-Gen) di Dewan Astaka UMPSA, Gambang di Kuantan pada Rabu.

Beliau ditemui selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Akademi Menara Gading 2.0 YASA-Next Generation Accelator Programme (AMG Next-Gen) di Dewan Astaka, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Iklan

Sebelum ini, ketika berucap pada Himpunan Keadilan: Suara Rakyat Suara Keramat, Dari Reformasi ke Malaysia Madani di Stadium Axiata, Bukit Jalil, pada 20 September lalu, Anwar mencabar pihak pembangkang untuk mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap beliau pada Sidang Dewan Rakyat, Oktober ini.

Perdana Menteri menegaskan bahawa pembangkang perlu mengikut lunas undang-undang dan tidak sewenang-wenangnya mendesaknya untuk melepaskan jawatan.

Cabaran tersebut dibuat oleh Anwar selepas beberapa perwakilan dan pimpinan Pas menuntut beliau meletakkan jawatan semasa Muktamar Tahunan ke-70 parti itu di Temerloh, baru-baru ini.

Sementara itu, Johari berkata, adalah sesuatu yang tidak adil buat rakyat sekiranya seorang ahli Parlimen tidak bercakap tentang pembangunan negara sebaliknya hanya bercakap tentang diri, kumpulan dan parti semata-mata ketika di dalam sidang Parlimen.

"Saya tidak kata mereka tidak boleh cakap, tapi janganlah ia sehingga mendominasi isu yang substantif seperti pandangan bagaimana membangunkan negara, bagaimana membangunkan kawasan mereka dan idea-idea baharu yang boleh ditonjolkan.

"Kalau asyik bercakap pasal politik sahaja, kita tidak akan ke mana-mana. Tidak kiralah pembangkang atau kerajaan. Disebabkan itu, sebelum masuk kena belajar dahulu. Baca semua dokumen...dapatkan maklumat berkaitan daripada pegawai-pegawai masing-masing. Janganlah asyik membantah sahaja,” tegasnya lagi.