Negeri Sembilan kenal pasti trek permotoran sukan lasak dalam hutan

Iklan
Mustapha

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan sedang mengenal pasti beberapa kawasan di negeri ini yang berpotensi dijadikan trek permotoran sukan lasak dalam hutan sebagai usaha menarik pelancong luar dan dalam ke negeri ini.

Exco Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Mustapha Nagoor berkata, ia antara fokus pihaknya bersempena Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026.

Iklan
Iklan

"Sukan permotoran ini antara sukan yang boleh menarik orang ramai, contohnya kita ada Litar Motocross, Litar Cuprix dan Litar Drag di Jempol.

"Bagaimanapun, ada beberapa lokasi lain yang sesuai dijadikan trek permotoran lasak di hutan seperti di Jelebu dan Kuala Pilah," katanya selepas Mesyuarat Exco di Wisma Negeri di sini pada Rabu.

Iklan

Mustapha berkata, kerajaan negeri juga akan mewujudkan prasarana lebih baik daripada masa ke masa di trek-trek berkenaan supaya ia memberi keselesaan kepada pengunjung.

"Selain memberi tarikan bersempena Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026, litar berkenaan boleh diguna pakai untuk pelbagai aktiviti sepanjang tahun sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada rakyat," katanya.

Iklan

Tambah beliau, pihaknya merancang untuk menaik taraf litar permotoran di Jempol bagi memastikan acara berkenaan dapat diadakan dengan baik selain membolehkan kejohanan lebih besar dapat diadakan.

Mustapha berkata, pihaknya juga berminat untuk meneroka beberapa sukan lasak lain termasuk sukan kuda lasak seperti di Terengganu yang boleh menarik kehadiran pengunjung seluruh dunia.