USIM semak syarat kemasukan pelajar Orang Asli

Iklan
Sharifudin (kiri) pada sidang media di USIM.

NILAI - Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) akan menyemak semula syarat kemasukan pelajar Orang Asli ke universiti itu.

Naib Canselor USIM, Prof Datuk Dr Sharifudin Md Shaarani berkata, ia bagi memberi peluang kepada lebih ramai pelajar Orang Asli dapat belajar di situ.

Iklan
Iklan

"Sememangnya kita ada terima permohonan pelajar Orang Asli ke USIM, tapi kita tidak dapat tawarkan mereka ke sini kerana syarat utamanya adalah ada Bahasa Arab dan Pengajian Islam.

"Jadi untuk cari kombinasi itu agak sukar. Kita akan semak dan melihat semula syarat kemasukan pelajar Orang Asli supaya lebih ramai yang dapat belajar di sini," katanya pada sidang akhbar Pendaftaran Pelajar Baharu Ijazah Sarjana Muda Sesi 2024/2025 di USIM pada Rabu.

Iklan

Beliau berkata, pada sesi pendaftaran kali ini, USIM menerima kemasukan pelajar Orang Asli yang pertama yang menyambung pengajian dalam program Ijazah Sarjana Muda Pembedahan Pergigian.

Menurutnya, pelajar yang menetap di Felda Tersang, Pahang itu sebelum ini berjaya menamatkan pengajian di peringkat Tamhidi Perubatan, Pergigian dan Sains Asasi USIM.

Iklan

"Nurul Atiqah Ithnani Idrus merupakan pelajar pertama berlatar belakang Orang Asli di USIM dan dia merupakan pelajar cemerlang di Pahang dari kategori Orang Asli apabila memperoleh 10A.

"Hebatnya anak ini kerana dia juga seorang hafizah dan dia bercita-cita menjadi seorang doktor gigi dengan niat membantu komunitinya," katanya.

Sementara itu katanya, seramai 2,718 pelajar telah ditawarkan tempat untuk mengikuti program pengajian Ijazah Sarjana Muda di USIM bagi sesi kali ini.

Jelasnya, seramai 378 pelajar yang mendaftar adalah daripada kategori diploma universiti awam (UA), politeknik, serta institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS) tempatan dan luar negara.

"Fakulti yang menerima jumlah pelajar tertinggi adalah Fakulti Pengajian Bahasa Utama dengan 377 pelajar, Fakulti Ekonomi dan Muamalat seramai 372 pelajar dan Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU) seramai 366 pelajar.

"USIM juga menerima pelajar antarabangsa seramai 61 orang yang mana paling ramai dari Singapura. Ini merupakan satu langkah signifikan dalam memperkukuh peranan USIM sebagai sebuah universiti bertaraf antarabangsa," katanya.

Tambahnya, sebanyak 31 peratus atau 723 calon pelajar daripada jumlah yang ditawarkan tergolong dalam kumpulan B40 atau keluarga kurang berkemampuan.

Dalam pada itu beliau berkata, USIM menyediakan pelbagai inisiatif bagi memastikan pelajar kurang berkemampuan dapat meneruskan pengajian.

Jelasnya, ia termasuk memberikan kemudahan penangguhan bayaran yuran semasa pendaftaran serta membuka ruang kepada pelajar untuk membuat permohonan bantuan kewangan daripada universiti dan pihak berkaitan.

"Jika ada pelajar yang tak cukup dana nak bayar yuran pendaftaran, tidak mengapa, datang dulu ke USIM dan kita akan bantu.

"Pernah dalam sejarah kami, kami mengambil pelajar itu di rumah untuk bantu dia datang ke USIM dan itulah keprihatinan kita bagi memastikan anak-anak ini dapat belajar," katanya.