Lelaki ditahan samun pemandu e-hailing wanita

Iklan
Suspek direman selama enam hari bagi membantu siasatan kes samun pemandu e-hailing di Kota Tingggi. Foto IPD Kota Tinggi

KOTA TINGGI – Seorang wanita yang merupakan pemandu e-hailing berdepan detik cemas apabila disamun seorang lelaki di tepi jalan berhampiran Pantai Tanjung Buluh, Kuala Sedili di sini pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, dalam kejadian itu, mangsa warga tempatan yang berusia 52 tahun mengalami kerugian sebanyak RM860.

Iklan
Iklan

"Susulan laporan dibuat mangsa di Balai Polis Kuala Sedili, polis berjaya mengesan dan menahan suspek berusia 30-an di sebuah rumah Taman Daiman Jaya di sini, pada Rabu.

"Polis turut merampas sebuah telefon bimbit jenama Realme 6i, sehelai baju berserta seluar jean pendek yang dipakai semasa melakukan kegiatan samun tersebut," katanya.

Iklan

Beliau berkata, hasil pemeriksaan menjumpai satu paket kecil plastik lut sinar disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat kasar 0.28 gram yang disimpan dalam dompet milik suspek.

Menurut beliau, hasil ujian air kencing yang dijalankan mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Iklan

"Suspek yang turut memiliki rekod jenayah lampau direman enam hari bermula Rabu selepas mendapat kebenaran Mahkamah Majistret.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan bersabit kejadian samun tanpa senjata.

"Kes juga disiasat bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana memiliki dadah dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 kerana positif dadah jenis methamphetamine,” ujarnya.