PRN Sabah: Warisan tanding semua kerusi pernah dimenangi

Iklan
Mohd Shafie beramah mesra dengan pengamal media Sabah pada Majlis Sembang Santai Bersama Media di Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU - Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengesahkan parti itu akan bertanding di semua kerusi yang pernah dimenangi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah lalu.

Mohd Shafie bagaimanapun berkata, setakat ini belum ada keputusan parti itu bertanding di kesemua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN akan datang.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pihaknya kini sedang membuat penilaian dan pertimbangan dari segi kedudukan, kekuatan dan kebolehan di peringkat akar umbi.

"Yang penting kalau kita bertanding kita menang, jangan bertanding tidak menang.

Iklan

"Beberapa kerusi kubu kuat milik Warisan, ada beberapa kerusi yang pernah menang, sudah ada pengundinya kita perkukuhkan.

"Yang pastinya kerusi yang kita menang akan ditanding semuanya," katanya ketika sidang akhbar pada Majlis Sembang Santai Bersama Media di sini pada Rabu.

Iklan

Ditanya mengenai hala tuju kerjasama Warisan untuk menghadapi pilihan raya, beliau memberi bayangan bahawa tanpa kerjasama juga boleh memerintah kerajaan.

"Setakat ini kita belum membuat sebarang keputusan walaupun kita katakan bahawa itu antara pilihan yang akan kita lakukan.

"Tapi dalam sejarah politik Sabah, ada parti yang tidak pernah ada gabungan. 10 tahun parti Berjaya, 10 tahun Parti Bersatu Sabah (PBS), maknanya orang Sabah sudah pernah mengundi satu parti.

"Bagaimanapun kita juga perlu melihat kedudukan, kekuatan kita di peringkat negeri. Jadi persoalan sama ada kita bertanding 73, belum ada lagi," katanya.

Untuk rekod, Warisan sebelum ini memenangi sebanyak 23 kerusi DUN pada PRN16 yang lalu.