Konsisten guna teknologi terkini bendung rasuah

Iklan
Zainal Adnan (gambar kecil) berpandangan, SPRM perlu mewajibkan penubuhan unit pemantauan integriti di setiap jabatan kerajaan dan mewujudkan garis panduan etika yang lebih jelas.

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dinasihatkan menambah baik mutu perkhidmatan dan menggunakan teknologi terkini ketika melakukan penguatkuasaan dalaman terhadap sektor awam atau swasta agar jenayah rasuah dapat dibendung sebaik mungkin.

Yang Dipertua Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Kuala Lumpur, Zainal Adnan Abdul Halim berkata, memandangkan SPRM sudah mencapai usia penubuhan selama 57 tahun, agensi berkenaan juga perlu memperkasakan penguatkuasaan undang-undang lebih tegas kepada pesalah rasuah terutama golongan yang terlibat dalam mana-mana projek secara rundingan terus.

Iklan
Iklan

"Lakukan audit automatik dan pemantauan berterusan terhadap aktiviti kewangan supaya salah laku dapat dikesan lebih awal. Ia juga salah satu mekanisme penting bagi mengelakkan berlakunya aktiviti rasuah.

"Selain itu, SPRM perlu tingkatkan kerjasama dengan badan kehakiman seperti memberi keutamaan kepada kes rasuah berskala besar agar proses perundangan lebih cepat dan cekap.

Iklan

"Untuk kesan jangka panjang, pencegahan melalui pendidikan dan kesedaran awam amat penting seperti kempen di peringkat akar umbi, sekolah atau universiti tentang bahaya rasuah," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata demikian sempena sambutan ulang tahun penubuhan SPRM ke-57 yang sebelum ini menggunakan nama Badan Pencegah Rasuah (BPR) bermula 1 Oktober 1967 lalu.

Iklan

Zainal Adnan turut berpandangan, SPRM perlu mewajibkan penubuhan unit pemantauan integriti di setiap jabatan kerajaan dan mewujudkan garis panduan etika yang lebih jelas.

Tambah beliau, agensi itu juga wajar mempertingkatkan undang-undang sedia ada demi melindungi pemberi maklumat rasuah agar dapat menggalakkan lebih ramai tampil ke hadapan bagi mengemukakan bukti berlakunya rasuah terutama dalam kalangan individu berprofil tinggi.

"Galakkan penglibatan sektor swasta dalam amalan tadbir urus korporat yang lebih ketat termasuk aspek pengurusan risiko rasuah. SPRM juga boleh melaksanakan audit kewangan secara rawak dan berkala terhadap syarikat besar.

"Akhir sekali, beri lebih banyak ruang dan peranan kepada masyarakat sivil, badan bukan kerajaan (NGO) serta media untuk membongkar kes rasuah tanpa ancaman atau sekatan," ujarnya lagi.