Sistem laluan satu hala di pekan Tapah dinilai semula

Iklan
Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Daerah Batang Padang, Abdul Rashid Osman (kanan) menyerahkan memorandum bantahan berhubung sistem penyuaraian baharu aliran trafik satu hala di bandar Tapah kepada Ishsam (dua dari kanan).

TAPAH - Sistem penyuaraian baharu aliran trafik satu hala di bandar Tapah yang tular susulan rungutan orang ramai akan dinilai semula, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Ishsam Shahruddin.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, penilaian akan mengambil kira semua aspek bukan sahaja kelancaran trafik dan keselamatan tetapi impak penukaran status laluan kepada peniaga dan penjaja.

Menurutnya, sejak sistem berkenaan dilaksanakan Ogos lalu, banyak aduan diterima daripada kumpulan berkenaan memaklumkan perniagaan mereka merosot sehingga 50 peratus kerana kurang kehadiran pelanggan.

Iklan

"Isu melibatkan peniaga dan penjaja ini adalah di luar pengetahuan kita kerana fokus utama pelaksanaan sistem baharu adalah bagi memudahkan lalu lintas.

"Tetapi kita ambil pendekatan menerima aduan dan permasalahan yang ditimbulkan untuk dibincangkan semula secara menyeluruh bersama pihak-pihak berkaitan.

Iklan

"Kita lihat dari pelbagai skop, bukan satu sahaja sama ada penyuaraian satu hala ini membawa kebaikan kepada keseluruhan majoriti pengguan jalan raya dan masyarakat di pekan Tapah itu sendiri," katanya.

Sebahagian peniaga yang hadir dalam sesi dialog berhubung sistem penyuaraian baharu aliran trafik satu hala di bandar Tapah anjuran Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Daerah Batang Padang pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam sesi dialog bersama peniaga dan penjaja pekan Tapah anjuran Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Daerah Batang Padang di sini pada Rabu.

Hadir sama, ADUN Chenderiang, Choong Shin Heng; Penolong Jurutera Bahagian Jalan Jabatan Kerja Raya (JKR) Batang Padang, Muhammad Naim Abu Bakar dan Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Majlis Daerah Tapah (MDT), Suzilawati Fauzi.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan, pelan JKR mengubah haluan jalan sepanjang 1.5 kilometer itu telah menyulitkan lebih 300 peniaga dan penjaja kecil.

Kesulitan timbul apabila ruang parkir berkurang dan laluan tidak mesra buat pejalan kaki kerana kenderaan dipandu laju selain faktor keselamatan apabila kenderaan berat terpaksa membuat pusingan di selekoh berbahaya.

Ishsam berkata, MDT telah menyediakan pelan jangka masa panjang dengan menyediakan tapak niaga baharu kepada peniaga dan penjaja yang terjejas terutama di kawasan laluan berbahaya.

Katanya, untuk permulaan, 18 penjaja statik dan beredar dikenal pasti dan telah mencapai persetujuan untuk berpindah ke lokasi baharu yang disediakan iaitu di tapak ekspo Jalan Baldwin 1 yang bakal dibuka Oktober ini.

"Sebelum ini, ada yang berniaga di tepi-tepi jalan berbahaya, jadi kita sediakan ruang niaga yang lebih praktikal dan selamat untuk mereka beroperasi.

"Dalam dua mesyuarat yang diadakan pada Jun dan Julai lalu, kesemua mereka telahpun memberikan kata setuju untuk beroperasi di tapak niaga baharu tersebut," katanya.

Sementara itu, Ishsam menjelaskan, sistem penyuaraian baharu itu dilaksanakan bagi mengatasi isu kesesakan yang sekian lama berlaku di laluan berkenaan terutama pada hujung minggu dan musim perayaan.

Ujarnya, kesesakan yang berlaku telah membebankan pengguna jalan raya menyebabkan pihak berkepentingan mencari solusi bagi mengatasinya.

"Perkara ini memerlukan masa untuk diselesaikan secara menyeluruh," katanya.