Kes Lahad Datu: Keputusan mahkamah setimpal dengan sifat, kezaliman tertuduh

Iklan
Azalina (tengah) bergambar bersama orang ramai yang hadir selepas selesai menonton Tayangan Khas Filem Takluk: Lahad Datu di GSC IOI Mall hari ini. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman mati terhadap tujuh lelaki warga Filipina adalah setimpal dengan sifat dan kezaliman mereka terhadap pasukan keselamatan negara yang terkorban dalam insiden pencerobohan di Kampung Tandou, Lahad Datu pada 2013.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ia juga satu keputusan yang positif kepada negara.

Iklan
Iklan

"Mereka ini kita lihat sebagai penderhaka dan mereka telah mewujudkan banyak kejadian yang menyaksikan anggota (pasukan keselamatan) kita menjadi mangsa.

"Bagi saya, apa yang mereka tuntut itu lebih kepada gerakan pengganas. Tuntutan yang mereka buat adalah tuntutan yang tidak wujud selepas Sabah jadi sebahagian dari Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas menonton tayangan khas filem ‘Takluk: Lahad Datu’ bersama warga Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) di sini malam ini.

Iklan

Terdahulu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman mati ketujuh-tujuh individu termasuk anak saudara Jamalul Kiram yang mengaku dirinya Sultan Sulu kerana melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong susulan insiden pencerobohan di Lahad Datu, 11 tahun lepas.

Mereka ialah Datu Amirbahar Hushin Kiram, 60, Atik Hussin Abu Bakar, 52, Basad H. Manuel, 49, Virgilio Nemar Patulada, 59, Al Wazir Osman, 68, Tani Lahad Dahi, 70, dan Julham Rashid, 75.

Iklan

Sembilan anggota pasukan keselamatan telah gugur sebagai wira negara dalam insiden itu yang berlaku antara 12 Februari hingga 10 April 2013.

Pada 26 Julai 2016, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu menjatuhkan hukuman penjara sepanjang hayat ke atas mereka selepas didapati bersalah mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, Azalina enggan mengulas ketika ditanya mengenai perkembangan isu dalang atau 'penderhaka' dalam kalangan rakyat Malaysia yang menyokong serta membantu kumpulan Sulu membuat tuntutan ke atas Sabah.

"Kita selesaikan yang di mahkamah antarabangsa (Mahkamah Agung Perancis) dahulu. Insya-ALLAH selepas semua ini selesai, kita akan nyatakan,” katanya.

Pada 24 Jun lepas, beliau berkata, kerajaan sedang mengenal pasti dalang dan penderhaka terbabit selepas pihaknya mendapat maklumat bahawa mereka adalah penggerak serta pemberi maklumat kepada kumpulan Sulu. - Bernama