SHAH ALAM - Kerajaan tidak sepatutnya memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) demi untuk mengembalikan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) sebaliknya mengekalkan kedua-dua format pentaksiran tersebut.
Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan, Fakulti Pendidikan Universiti kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad berkata, ini kerana dalam konteks pendidikan di negara ini kedua-dua format itu diperlukan dan saling melengkapi.
Menurutnya, tidak salah untuk melakukan perubahan namun ia mestilah dilakukan dengan persiapan cukup kerana kelak yang menjadi mangsa adalah anak-anak.
"PBD ini bukannya baharu dilaksanakan pada tahun 2017 tetapi telah lama diamalkan sejak berpuluh tahun dahulu. Konsep ini dari sekolah pondok lagi, bila saya baca al-Quran guru agama kata awak baca salah, itu pun PBD iaitu pentaksiran berterusan.
"Tetapi sekarang tiba-tiba kita anggap PBD ini perlu digantikan dengan peperiksaan berpusat. Saya rasa tidak perlu kerana kedua-duanya saling melengkapi," ujarnya
Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Wacana Sinar bertajuk UPSR,PT3: Mencari Alternatif Terbaik yang disiarkan secara langsung di semua platform Sinar Harian pada Rabu.
Program itu dikendalikan Ismail Adnan sebagai moderator dan turut disertai dua panelis lain iaitu Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Mustafa Musa dan Pempengaruh Pendidikan, Cikgu Zack Kirana.
Tambah Anuar, walaupun PBD baik dari segi konsep dan telah berjaya dilaksanakan di negara maju tetapi Malaysia belum bersedia.
"Kalau mahu buat penuhi beberapa syarat dahulu. Contohnya sekarang dalam kelas ada 40 hingga 45 orang bagaimana mahu buat PBD dengan murid yang ramai, mustahil lihat satu-satu.
"Selain itu, mahu laksanakan PBD kena juga lihat silibus, kalau terlalu banyak bila masa cikgu boleh buat aktiviti. Tanpa perkara itu bagaimana cikgu mahu buat pentaksiran dari segi pemerhatian, pengetahuan dan keupayaan pelajar," ujarnya.