PERBADANAN Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) pada 21 September lalu mengumumkan mahu mengambil tindakan terhadap 430,000 peminjam kerana tidak pernah membayar semula hutang membabitkan nilai RM6 bilion.
Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, sebahagian daripada peminjam itu sudah pun tamat pengajian di institusi pengajian tinggi sejak berpuluh tahun, namun masih gagal membuat bayaran walau satu sen pun. Malah, bilangannya semakin bertambah saban tahun.
Sikap tidak bertanggungjawab golongan yang culas melunaskan hutang itu mengakibatkan kedudukan kewangan PTPTN berada di tahap membimbangkan.
Zamry berkata, golongan ini bukan sahaja tidak mempedulikan hutang PTPTN mereka sejak hari pertama keluar dari universiti, bahkan langsung tidak memaklumkan kepada agensi kerajaan itu tempat mereka bekerja dan bagaimana mahu melakukan pembayaran semula.
Justeru, PTPTN sudah membuat perbincangan secara mendalam di peringkat Kabinet termasuk mengambil tindakan undang-undang untuk langkah seterusnya.
Perincian tentang tempoh kes dan bentuk tindakan yang akan diambil terhadap peminjam culas akan diumumkan dalam masa terdekat.
Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim bagaimanapun berkata, pihaknya memahami keadaan ekonomi sekarang ini.
Berikutan itu, PTPTN masih bertolak-ansur dengan menyarankan kepada peminjam terbabit untuk datang ke pejabat PTPTN berdekatan, berbincang sekiranya mempunyai masalah untuk membayar semula pinjaman.
Walaupun bertindak tegas, namun PTPTN tidak mengabaikan tanggungjawab moral mereka untuk membantu pelajar termasuk generasi akan datang pula.
Tertanya-tanya juga, mengapa masih ramai peminjam liat hendak melunaskan hutang PTPTN.
Sama ada mereka ini benar-benar tak mampu membayar semula, atau sengaja buat-buat tak tahu terhadap hutang yang ada dengan harapan ia akan ‘lupus’ sendiri.
Timbalan Presiden MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon baru-baru ini juga melahirkan rasa bimbang dengan situasi itu dan berharap peminjam dihalang daripada ‘rasa selamat’ daripada sebarang pembayaran balik pinjaman.
Justeru, beliau mencadangkan lima kaedah bagi menggalakkan pembayaran hutang PTPTN yang telah mencecah RM6 bilion iaitu bersamaan nilai 20,000 Rumah WIP atau Residensi Wilayah.
Kaedah tersebut ialah memberi mandat kepada majikan melaksanakan potongan gaji automatik, mengalihkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) majikan kepada ansuran PTPTN dan memperkenalkan polisi melarang pembaharuan lesen perniagaan bagi individu yang bekerja sendiri atau pemilik tunggal.
Selain itu, menyenarai hitam mereka yang terlibat untuk ke luar negara dan melarang mereka memohon pinjaman baharu, kemudahan kredit terutama kad kredit atau membeli hartanah, saham dan kenderaan.
Saranan tersebut wajar dan boleh dijadikan panduan oleh PTPTN dalam usaha untuk mendapatkan semula wang yang diberi pinjam sebelum ini, supaya dapat digunakan pula kepada orang lain.
Penulis juga bersetuju dengan tindakan melarang mereka yang mempunyai masalah hutang PTPTN daripada ke luar negara sama ada untuk melancong atau bekerja.
Kalau mereka mampu melancong ke luar negara, sudah tentu mampu untuk melunaskan hutang tersebut.
Kalau bayar RM100 sebulan pun, lama-lama hutang akan langsai dan PTPTN mempunyai dana mencukupi untuk diberikan kepada pelajar lain pun.
Namun jika masih ada sikap acuh tak acuh membayar hutang, rujuklah semula kepada hukum Islam sebagai panduan. Betapa beratnya dosa ditanggung sekiranya kita tidak membayar hutang.
Harus diingat, hutang wajib dibayar walaupun sudah meninggal dunia.
* Juliana Rosdi ialah Penyunting Sinar Harian