KAOHSIUNG - Taiwan menutup sekolah dan pasaran kewangannya pada Rabu ketika Taufan Krathon membadai bahagian selatan dan timur pulau itu, dengan membawa hujan lebat dan angin kencang.
Menurut Pentadbiran Cuaca Pusat Taiwan (CWA), Taufan Krathon, dengan angin berkelajuan 173 kilometer sejam (km/j) sehingga 209km/j dan kini berada kira-kira 140 kilometer (km) dari barat daya bahagian selatan Kaohsiung setakat jam 7 pagi (waktu tempatan).
Katanya, Krathon yang diturunkan kepada kategori sederhana daripada kuat di bawah sistem pemantauan ribut Taiwan pada Selasa yang kini dijangka membadai Kaohsiung atau Tainan pada Khamis.
"Ketibaan Krathon bergerak sangat perlahan. Tempoh kedatangannya mungkin tertangguh tetapi ramalannya akan tiba jam 10 pagi pada Khamis.
"Selepas ia mendarat, taufan ini akan menjadi lemah dengan cepat. Kemudian, ia akan menjadi ribut tropika pada pagi Khamis,” kata peramal kaji cuaca Zeng Zhao-zheng kepada AFP
Pejabat dan sekolah di seluruh pulau itu sudah ditutup dan Kementerian Dalam Negeri menyatakan hampir 10,000 orang telah dipindahkan dari kawasan-kawasan terdedah sebagai langkah berjaga-jaga.
Sementara itu, Presiden Lai Ching-te memberi amaran pada Selasa bahawa taufan itu berkemungkinan menyebabkan kerosakan besar dan menggesa orang ramai supaya terus berwaspada disebabkan oleh laluannya yang agak jarang berlaku dan taufan itu diramal akan keluar dari pantai timur pulau itu.
Semua penerbangan domestik dan perkhidmatan feri telah dibatalkan pada Rabu dan kira-kira 250 penerbangan termasuk dari Taiwan ke Jepun, Hong Kong, Filipina dan Korea Selatan sudah digantung.
Kementerian Pertahanan Korea Selatan berkata, hampir 40,000 anggota tentera telah bersiap siaga bagi berdepan kemungkinan.
Di seluruh Taiwan, terdapat 46 laporan kecederaan berkaitan taufan sehingga Rabu dan seorang mangsa yang berada di barat daerah Yunlin dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam laut.
Bencana taufan adalah perkara biasa di sekitar rantau tersebut pada masa tahun ini.
Walau bagaimanapun, kajian baru-baru ini menunjukkan bahawa taufan semakin membentuk lebih dekat dengan garisan pantai, semakin intensif dengan lebih cepat dan bertahan lebih lama di atas tanah akibat perubahan iklim.
Di Kaohsiung, pihak berkuasa mengedarkan beg pasir dan membersihkan longkang bagi mengelak kejadian banjir berleluasa seperti mana berlaku semasa Taufan Gaemi melanda pada Julai lalu.
Gaemi adalah taufan terkuat pernah mendarat di Taiwan dalam tempoh lapan tahun, menyebabkan sekurang-kurangnya 10 orang terbunuh manakala ratusan lagi orang awam dilaporkan mengalami kecederaan.
Taiwan sudah biasa berdepan dengan ribut tropika yang kerap berlaku dari Julai hingga Oktober, tetapi pakar berkata perubahan iklim telah meningkatkan kekerapannya berlaku sehingga membawa kepada hujan lebat, banjir kilat dan tiupan angin kuat.
Penduduk di Kaohsiung mengambil langkah berjaga-jaga seperti menutup tingkap rapat, mengisi beg pasir dan memasang penghadang di sekeliling rumah mereka bagi mengelakkan air banjir.
Manakala, pegawai pengawal pantai yang berkawal di tempat pelancongan di Teluk Sizihwan memberitahu orang ramai supaya menjauhkan diri ketika ombak kuat melanda pantai.
Taufan Krathon menghampiri Taiwan selepas melanda beberapa penempatan terpencil pulau Filipina, di mana ia memutuskan bekalan elektrik dan komunikasi serta merosakkan banyak rumah.
Majlis Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan Filipina berkata pada hari Rabu bahawa lapan orang cedera dan seorang hilang akibat Krathon.
Ia menambah bahawa 5,431 orang kehilangan tempat tinggal di bahagian utara Filipina. - AFP