Buang imej pantai Teluk Kemang sebagai 'Teluk Khemah'

Iklan
Khemah di sepanjang pesisir menutup keindahan pantai dari pemandangan umum.

"ALHAMDULILLAH, Teluk Khemah akan kembali kepada nama asal iaitu Teluk Kemang,” seloroh jiran Merak Jalanan selepas membaca artikel mengenai tindakan tegas kerajaan Negeri Sembilan terhadap pihak yang masih berdegil menyediakan perkhidmatan sewa khemah haram di kawasan pantai awam.

Sebelum ini, kecoh di media sosial mengenai dakwaan pengunjung dilarang meletakkan tikar di kawasan Pantai Teluk Kemang, Port Dickson.

Iklan
Iklan

Arahan peniaga di Teluk Kemang itu menyebabkan ramai yang tidak berpuas hati kerana pantai adalah hak milik awam.

Secara peribadi, Merak Jalanan setuju tindakan tegas dikenakan terhadap pihak terlibat.

Iklan

Namun, lebih baik jika mansuhkan terus penggunaan khemah haram ini. Tindakan sita sahaja tidak memadai kerana peniaga di kawasan itu akan tetap mengulangi kesalahan sama.

Tambahan pula kawasan pantai bukan peniaga yang punya. Pemandangan jadi serabut dan tempat menjadi sempit.

Iklan

Pengunjung datang jauh-jauh nak tengok pemandangan pantai, bukan khemah bersepah sepanjang pesisir yang menutup keindahan pantai dari pemandangan umum.

Difahamkan, harga sewaan khemah tersebut bermula daripada RM70 sehingga RM240 bergantung kepada pakej tambahan seperti kerusi dan plug point.

Bukan semua orang mampu menyewa khemah. Malah, rata-rata komen di media sosial juga menggesa pihak berkuasa tempatan mengharamkan perkhidmatan sewaan khemah di kawasan tersebut kerana bukan sahaja mencacatkan pemandangan pantai, tetapi menghalang kebebasan orang awam untuk beriadah.

Bak kata jiran Merak Jalanan, boikot sahaja peniaga khemah biru di Teluk Kemang itu dan masing-masing pakat bawa tikar sendiri.

Pantai Teluk Kemang adalah kawasan awam, bukannya tanah milik persendirian!