Batal perkahwinan: Individu teraniaya berhak tuntut ganti rugi

Iklan
Mana-mana individu yang teraniaya apabila ikatan pertunangan dibatalkan kerana pasangan enggan meneruskan perkahwinan, boleh mengambil tindakan undang-undang. Gambar kecil: Nurain Akmal, Fazru Anuar

SHAH ALAM - Mana-mana individu yang teraniaya apabila ikatan pertunangan dibatalkan kerana pasangan enggan meneruskan perkahwinan, boleh mengambil tindakan undang-undang dengan menuntut ganti rugi sebagaimana yang termaktub di bawah Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam.

Penasihat Persatuan Peguam Syarie Terengganu, Fazru Anuar Yusof berkata, Seksyen 14, Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Terengganu) 2017 menyatakan tindakan mahkamah boleh diambil terhadap pemungkiran janji untuk berkahwin.

Iklan
Iklan

Menurutnya, seksyen tersebut menyatakan, jika seseorang telah mengikat suatu pertunangan mengikut hukum syarak, sama ada secara lisan atau secara bertulis, dan sama ada secara bersendirian atau melalui seorang perantara.

"Kemudian, beliau enggan berkahwin dengan pihak yang satu lagi itu tanpa apa-apa sebab yang sah manakala pihak yang satu lagi bersetuju berkahwin dengannya, maka pihak yang mungkir adalah bertanggungan memulangkan pemberian pertunangan, jika ada, atau nilainya dan membayar apa-apa wang yang telah dibelanjakan dengan suci hati oleh atau pihak yang satu lagi untuk membuat persediaan bagi perkahwinan itu, dan yang demikian boleh dituntut melalui tindakan dalam mahkamah,” katanya.

Iklan

"Sebelum daftar kes, perlu pastikan nilai tuntutan dan bidang kuasa. Sekiranya ganti rugi kurang daripada RM100,000 hendaklah daftar bawah Mahkamah Rendah Syariah.

"Jika nilai tuntutan melebihi RM100,000 perlu daftar bawah Mahkamah Tinggi Syariah sebelum memfailkan kes,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Iklan

Sementara itu, Peguam Syarie, Nurain Akmal Khairunnisa Hamzah menjelaskan, tuntutan terhadap perbelanjaan bagi majlis pertunangan termasuk persiapan perkahwinan boleh dibuat bersandarkan bukti-bukti yang kukuh.

Katanya, sebarang kos perbelanjaan yang ditanggung tanpa rela tetap satu penganiayaan kepada pihak terlibat dan tindakan undang-undang berhak diambil.

"Jika tarikh perkahwinan masih lambat lagi sekalipun, tuntutan perbelanjaan majlis tunang boleh dibuat, apatah lagi bagi persiapan perkahwinan telah dibuat termasuk tempahan yang memerlukan bayaran.

"Jika pihak teraniaya nak buat tuntutan, pastikan ada bukti termasuk resit pembayaran. Sekiranya tiada jumlah yang dipersetujui pihak yang dituntut, mahkamah akan tentukan jumlah ganti rugi yang perlu dibayar,” ujarnya.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan seorang ibu sebak mengumumkan majlis perkahwinan anak lelakinya tidak akan berlangsung kerana calon isteri menarik diri pada saat akhir.

Susulan daripada itu, wanita berkenaan memaklumkan bahawa keluarganya mengambil keputusan untuk meneruskan 'hari bahagia' itu dengan mengadakan majlis bacaan doa selamat.