DI bawah Subseksyen 44(11)D Akta Cukai Pendapatan 1967, bayaran wakaf ke pihak autoriti layak menikmati potongan cukai sebanyak 10 peratus sama ada individu atau syarikat.
Antara pihak autoriti diberi mandat mengutip wakaf ialah Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP).
Justeru, individu yang membuat bayaran wakaf kepada PPZ-MAIWP layak menikmati potongan cukai 10 peratus.
Contohnya, individu berpendapatan RM100,000 layak mendapat potongan cukai RM10,000 apabila berwakaf.
Ikuti temubual wartawan Sinar Harian, QURRATUL AINA QUDDUS bersama Penolong Pengurus Dakwah Wakaf PPZ-MAIWP, Mohd Dziyaulhak Hashim mengenai kelebihan berwakaf.
SINAR HARIAN: Bagaimana cara mendapatkan pelepasan cukai melalui sumbangan wakaf?
MOHD DZIYAULHAK: Antara cara membuat sumbangan wakaf adalah menerusi portal wakafppz.com.my. Individu boleh membuat pilihan projek atau usaha wakaf dilakukan PPZ-MAIWP.
Selain wakaf dibayar tunai, umat Islam juga boleh melakukan potongan gaji atau Potongan Wakaf Bulanan (PWB) sebagai salah satu usaha mempermudah umat Islam menyumbang kepada pembangunan masyarakat.
Inisiatif ini membolehkan individu bekerja memberi sumbangan wakaf secara tetap.
Dengan cara ini, sumbangan dapat dikumpulkan secara konsisten dan berterusan, sekali gus membantu membiayai pelbagai projek dan inisiatif kemasyarakatan bermanfaat seperti pembinaan masjid, pusat pendidikan, kemudahan kesihatan dan bantuan kepada golongan memerlukan.
Sebagai seorang pekerja, individu boleh mengisi borang potongan gaji, kemudian pihak sumber manusia syarikat itu akan buat potongan gaji secara bulanan.
Di samping itu juga, penyumbang wakaf juga boleh membuat sumbangan melalui 10 kaunter PPZ-MAIWP.
Apakah sektor yang terlibat dalam projek wakaf PPZ-MAIWP dan bagaimana sektor wakaf menyokong pembangunan sosial dan ekonomi?
Sektor wakaf utama ialah sosial, pendidikan, kesihatan dan ekonomi.
Bagi sektor sosial, PPZ-MAIWP sedang mengadakan kutipan dana wakaf untuk bina semula Masjid Anas Bin Malik di Kampung Selayang Lama.
Ini kerana masjid tersebut merupakan antara yang tertua di Kuala Lumpur. Sasaran kutipan wakaf untuk projek berkenaan adalah sebanyak RM10 juta.
PPZ-MAIWP juga sedang mengumpulkan dana bagi sektor pendidikan untuk membeli smartboard untuk diedarkan kepada sekolah B40.
Manfaat smartboard adalah pihak sekolah boleh mengadakan sesi pembelajaran secara rentas sempadan seperti guru mengajar di kelas A, jadi pelajar di kelas B dan C akan menerima pembelajaran itu secara maya.
Smartboard juga boleh berhubung atau berinteraksi antara guru dengan murid.
Jadi, itulah sasaran kita berikutan kekurangan guru di Wilayah Persekutuan disebabkan pelajar terlalu ramai.
Untuk sektor kesihatan, kita dalam perancangan membeli rumah dengan dana wakaf untuk pesakit kanser dan keluarga di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Ini kerana HKL mempunyai ramai pesakit kanser, jadi ahli keluarga dan pesakit tiada tempat berehat sekiranya datang dari luar kawasan.
Dengan dana wakaf itu, pihak PPZ-MAIWP mahu beli rumah yang dinamakan ‘transit home’ bertujuan untuk ringankan beban pesakit dan keluarga. Kita sasarkan kutipan wakaf RM3 juta untuk beli lima rumah.
Wakaf ekonomi pula, PPZ-MAIWP diamanahkan untuk mendapatkan wakaf bagi pembinaan Islamik Hub di Masjid Al-Ghufran, Taman Tun Dr Ismail (TTDI) dengan segala kemudahan seperti hotel.
Projek ini berskala mega, kita sasar kutip RM270 juta dan masih jauh lagi. Maknanya dengan dana wakaf, kita hendak laksanakan ‘one stop centre’ misalnya ada pasar raya atau hotel.
Apakah projek wakaf yang boleh dianggap unik dan sedang diusahakan sekarang?
Kita sedang kutip wakaf untuk persatuan orang-orang buta. Golongan ini luar biasa kerana mereka buta di mata tetapi celik di hati. Mereka ini hafal al-Quran guna huruf Braille.
Mereka mahu pindahkan pejabat daripada bangunan disewa dan berharap memiliki bangunan sendiri.
Jadi, kita nak mereka miliki bangunan itu dengan dana wakaf. Kita kutip dana wakaf untuk Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS).
Apakah kelebihan menunaikan wakaf kepada individu dan syarikat?
Kalau kelebihan wakaf kepada individu, kita tengok kecenderungan majoriti manusia hari ini adalah mereka nak cari pendapatan berterusan yang bermakna perkara itu buat sekali tapi pulangannya berganda.
Jadi, untuk akhirat pun kita kena juga buat pahala berterusan dan caranya adalah melalui sumbangan ini. Kita buat sekali tetapi pahala itu mencurah- curah sebagai jariah. Itulah kelebihan utama wakaf itu kerana sedekah ini ada dua iaitu yang pertama sedekah terpotong.
Maksudnya, kita beri nasi lemak kepada orang lain, kita dapat pahala tetapi ia berterusan semasa orang itu makan tetapi apabila sudah habis, maka sampai setakat itu sahaja pahala kita.
Satu lagi, sedekah yang berkekalan pahalanya seperti wakaf. Sedekah jariah ini pahalanya berjalan.
Insya-ALLAH, berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan dalam sahih Muslim, doa orang yang suka berwakaf ini akan dimakbulkan. Doa dia makbul sebab dia santuni hajat atau keperluan orang lain.
Bagaimanakah PPZ-MAIWP menggalakkan masyarakat untuk menyumbang kepada kempen wakaf tunai?
Ketika ini kita sedang mengadakan Kempen Satu Bulan Satu Wakaf. Walaupun kempen ini nama sahaja satu bulan satu wakaf tetapi kalau satu bulan lima wakaf juga lebih baik.
Dalam kempen ini, kita minta umat Islam khasnya di Wilayah Persekutuan menunaikan wakaf kerana ia merupakan peluang yang datang hari ini untuk kita. Belum tentu esok ada kehidupan untuk kita. Kita sarankan untuk sertai kempen ini dan bayar sahaja wakaf di PPZ-MAIWP.
Insya-ALLAH mereka yang berwakaf itu ada peluang untuk menang cabutan bertuah, dapat tiket pergi dan balik untuk melancong, dapat kepingan emas dan hadiah lain.
Kemudian kita memang galakkan majikan untuk hubungi pihak kita supaya boleh beri penerangan dan pendedahan secara ringkas tentang manfaat pemberian wakaf ini.
PPZ-MAIWP bersedia pada bila-bila masa untuk menyebar luaskan maklumat dan manfaat mengenai kebaikan serta kelebihan berwakaf ini.