IPOH - Pempengaruh media sosial memberi sumbangan besar dalam membantu mengangkat Perak sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Beliau berkata, perkongsian yang dilakukan melalui platform seperti TikTok, Instagram, Facebook dan X telah membantu memperkenalkan Perak dengan cara kreatif dan berkesan sekali gus menjadikan pelancongan lebih relevan kepada generasi baharu yang celik teknologi.
Menurutnya, menerusi video pendek, hantaran ringkas, gambar, serta perkongsian lokasi, kumpulan ini berjaya mempromosikan tempat-tempat yang dahulunya kurang dikenali, kini menjadi tular dan tumpuan ramai menerusi capaian pasaran lebih luas.
"Concubine Lane di Ipoh misalnya, yang dahulu sekadar lorong sejarah, kini menjadi satu destinasi paling popular dan menjadi destinasi mesti dilawati jika berkunjung ke Ipoh.
"Selain itu, keindahan Gunung Lang, kawasan-kawasan glamping di seluruh negeri, dan pelbagai lokasi makanan yang mendapat perhatian meluas di media sosial turut menyumbang kepada daya tarikan pelancong.
"Setiap perkongsian mereka tidak hanya mengetengahkan destinasi yang unik, tetapi juga kepelbagaian gastronomi yang menjadi kekuatan tarikan Perak," katanya ketika berucap dalam majlis Perak Tourism Award 2024 di Pusat Konvensyen Casuarina di sini pada Rabu.
Hadir sama, Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee; Pengerusi Tourism Perak, Datuk Mohamad Kamil Shafie dan Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa.
Katanya, kopi tempatan negeri ini juga diiktiraf oleh Taste Atlas sebagai salah satu kopi terbaik di dunia, menduduki tempat ke-10 dalam senarai Top 39 Coffees In The World.
"Industri pelancongan yang terus berkembang ini bukan sahaja membawa limpahan pelawat, tetapi juga menyumbang kepada pembangunan ekonomi yang lebih mampan.
"Dengan peningkatan ketibaan pelancong, sektor-sektor lain seperti perhotelan, pengangkutan, makanan dan perkhidmatan turut mendapat manfaat," katanya.
Sementara itu, sebanyak 46 anugerah terdiri daripada 10 kategori disampaikan sebagai pengiktirafan dan penghargaan kepada penggiat industri pelancongan yang telah berusaha keras memajukan sektor pelancongan Perak selain memeriahkan lagi Tahun Melawat Perak 2024.
Antara pemenang termasuklah Kellie' Castle bagi anugerah Best Cultural And Heritage Destination, Gopeng Glamping Park (Outdoor Adventure), Tasik Cermin Ipoh (Best Accessible Tourism Initiative), Majlis Perbandaran Taiping (Best Volunteer Tourism Initiative), Universiti Pendidikan Sultan Idris (Excellence in Education Tourism Destination) dan Sunway Lost World of Tambun (Excellence in Tourism Attraction).
Kali terakhir anugerah tersebut diadakan adalah pada Tahun Melawat Perak 2017.