Kaji semula piawaian selenggara, bina jalan raya di Pulau Pinang

Iklan
Gambar kecil: Mohideen

GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang digesa agar mengkaji semula piawaian pembinaan dan penyelenggaraan jalan raya berikutan banyak jalan berlubang serta permukaan jalan tidak rata dikesan di negeri ini sekaligus mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, dalam tinjauan yang dibuat baru-baru ini, pihaknya mendapati antara jalan utama yang rosak ialah di Jalan Thean Teik, Jalan Paya Terubong, Jalan Jelutong, Jalan Perak, Jalan Bukit Gambir dan beberapa jalan lain di kawasan perumahan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dengan peningkatan kenderaan bermotor yang tinggi terutamanya kereta persendirian di negeri ini dalam tempoh 10 tahun adalah amat penting bagi jalan raya ini diselenggara dengan baik.

"Jalan yang rosak amat berbahaya kepada pengguna jalan raya terutamanya ketika musim cuti sekolah atau perayaan. Ia akan menyebabkan kemalangan jalan raya.

Iklan

"Langkah-langkah pembaikan segera perlu diambil untuk memastikan jalan raya di Pulau Pinang tidak mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya. Selain itu, permukaan jalan yang tidak rata dan berlubang akan menyebabkan kerosakan pada kenderaan," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambah Mohideen, kontraktor yang dilantik untuk membina dan menyelenggara perlu bertanggungjawab terhadap sebarang kerja yang dijalankan bagi memastikan keadaan jalan raya berada dalam keadaan baik.

Iklan

"Kontraktor bertanggungjawab perlu memastikan kerja menyelenggara dan membina dibuat dengan baik kerana jika tidak, ia akan mengakibatkan jalan raya berlubang dan permukaan jalan tidak rata.

"Kejadian jalan kerap berlubang dan permukaan yang tidak rata adalah kerana kerja yang dijalankan oleh kontraktor yang dilantik tidak baik," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerja pembaikan dan menyelenggara perlu dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) agar kekerapan jalan raya berlubang tidak berlaku.

"Kontraktor juga perlu menjalankan pemeriksaan secara mingguan di semua jalan raya.

"Kerajaan Pulau Pinang juga perlu mencontohi negara jiran iaitu Singapura yang sentiasa memastikan jalan raya mereka berada dalam keadaan terbaik," katanya.