4 hingga 6 episod hujan lebat berterusan di Pantai Timur mulai November

Iklan
Episod hujan lebat Monsun Timur Laut (MTL) akan berlaku di Kelantan, Terengganu dan Pahang antara November hingga Disember. Foto hiasan

PUTRAJAYA - Musim tengkujuh yang dijangka berlaku bermula November depan hingga Mac 2025 bakal menyaksikan empat hingga enam episod hujan lebat berterusan yang signifikan di beberapa negeri terutamanya di Pantai Timur.

Timbalan Pengarah (Strategik) Ambun Dindang berkata, episod hujan lebat Monsun Timur Laut (MTL) akan berlaku di Kelantan, Terengganu dan Pahang antara November hingga Disember.

Iklan
Iklan

"Pada Disember hingga Januari, hujan lebat pula dijangka lebih tertumpu Johor, Sabah dan Sarawak," katanya ketika berucap di Forum Iklim Kebangsaan 2024 Monsun Timur Laut: Tindakan dan Cabaran Barisan Hadapan di sini pada Khamis.

Ujar beliau, hujan berterusan juga mungkin berlaku di negeri Pantai Barat sekiranya terdapat luruan monsun yang kuat atau kewujudan sistem tekanan rendah di rantau negara.

Iklan

"Kebanyakan tempat dijangka mengalami jumlah hujan bulanan pada paras purata, kecuali beberapa kawasan di Utara dan Timur Semenanjung serta Timur Sabah yang dijangka menerima hujan sedikit di atas paras purata pada fasa awal MTL," jelas Ambun.

Beliau berkata, dalam memantau cuaca semasa MTL, Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional (POCGN) yang beroperasi 24 jam sehari akan memberikan maklumat, ramalan cuaca dan amaran cuaca buruk apabila keadaan memerlukan.

Iklan

"Maklumat, ramalan cuaca dan amaran hujan lebat, laut bergelora serta angin kencang yang dikeluarkan akan disebarkan melalui pelbagai medium seperti laman web, media sosial (Facebook, Instagram dan X, Youtube), media elektronik (TV dan radio), media cetak dan aplikasi mobil myCuaca," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, beberapa kawasan di utara Semenanjung Malaysia seperti negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Terengganu dijangka akan mengalami cuaca yang kering dan kurang hujan pada penghujung MTL, iaitu dari bulan Februari hingga Mei.

"Masalah jerebu setempat dan rentas sempadan serta gelombang haba juga boleh berlaku dalam tempoh tersebut," katanya.

Jelas Ambun, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) telah mengambil inisiatif untuk menghasilkan model sebaran aerosol dan agen pencemar atmosfera bagi menyokong operasi harian jabatan terutama semasa musim jerebu dan kering.

MetMalaysia juga menyediakan Fire Danger Rating System (FDRS) untuk mengenalpasti kawasan yang berpotensi untuk berlaku kebakaran hutan serta tanah gambut.

Selain daripada perkhidmatan cuaca dan iklim, MetMalaysia juga memainkan peranan penting dalam memberikan perkhidmatan gempa bumi dan tsunami.

Sebanyak 23 projek tambahan siren tsunami, 17 stesen tolok pasang surut, enam stesen seismologi serta penambahbaikan sistem pemprosesan maklumat gempa bumi dan tsunami sedang dilaksanakan MetMalaysia.