[VIDEO] King Sing tuntut Ketua Pemuda UMNO Johor mohon maaf

Iklan

SHAH ALAM - Parti Demokratik Progresif (PDP) menuntut Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros memohon maaf atas dakwaan yang dibuat kononnya peratusan keluar mengundi masyarakat Cina pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota cuma antara 34 hingga 36 peratus.

Presidennya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, dakwaan berkenaan jelas menafikan fakta dan hanya memetik statistik yang tidak berasas.

Iklan
Iklan
Hantaran King Sing di Facebook beliau mempersoalkan kenyataan yang dibuat Noor Azleen.

"Sebagai ketua pemuda, kegagalan Noor Azleen untuk melakukan semakan fakta amat mengecewakan dan dikesali.

"Tindakan ini bukan sahaja memberi kesan kepada dirinya sendiri, malah partinya juga akan turut terpalit.

Iklan

"Jika Noor Azleen benar-benar bertanggungjawab atas segala tindakan yang dibuat, beliau harus memohon maaf kepada masyarakat Cina atas kenyataan yang telah dikeluarkan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

PRK Mahkota pada Sabtu lalu menyaksikan Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi itu dengan majoriti lebih besar iaitu sebanyak 20,648 undi selepas calonnya, Syed Hussien Syed Abdullah menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar.

Iklan

Beberapa pemimpin UMNO termasuk Noor Azleen kemudiannya dilapor mempersoalkan sumbangan DAP dalam PRK terbabit dengan berkata hanya 34 hingga 36 peratus sahaja pengundi Cina di DUN itu membuang undi.

Mengulas lanjut King Sing yang juga Menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan (MOTAC) mendakwa, realitinya peratusan keluar mengundi pengundi Cina pada PRK Mahkota ialah sebanyak 53.6 peratus manakala peratusan keluar mengundi Melayu ialah 56.6 peratus.

"Adakah beliau tidak dapat berfikir dengan waras, jika peratusan keluar mengundi kaum Cina begitu rendah, bagaimana Syed Hussien boleh memperoleh majoriti yang besar?

"Kenyataan melulu yang dibuat oleh Noor Azleen bukan sahaja menjadikan kaum Cina semakin dingin, malah secara tidak langsung menampakkan imejnya yang tidak profesional dan tidak matang,” dakwanya.

King Sing menambah, Nor Azleen seolah-olah tidak menghargai sumbangan pengundi Cina dalam PRK tersebut kerana bukan sahaja tiada ucapan penghargaan diberikan malahan masyarakat pula dipersalahkan dan membuatkan kaum Cina berasa amat kecewa.

Katanya, Kerajaan Perpaduan meletakkan harapan dan perhatian yang besar kepada PRK tersebut dengan semua pemimpin gabungan parti berkenaan mengetepikan perbezaan serta bekerjasama untuk meraih kemenangan.

"Ini termasuk penglibatan yang signifikan dan aktif daripada pertubuhan Cina dan pertubuhan masyarakat sivil yang menyertai kami ketika berkempen di kawasan itu untuk memastikan calon BN mendapat sokongan daripada semua kaum masyarakat sekali gus melonjakkan peluangnya untuk menang.

"Saya juga ingin menasihati Noor Azleen supaya berhenti memalukan diri sendiri. Memandangkan BN telah memenangi PRK ini dengan sokongan pelbagai pihak, beliau sepatutnya menghargai kepercayaan yang telah diberikan,” ujarnya.

Katanya, Noor Azleen harus memastikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota yang baharu dipilih itu turun padang berkhidmat kepada rakyat secepat mungkin dan berusaha ke arah pembangunan yang lebih baik di Mahkota.