Perak sedia tubuh jawatankuasa khas pulih akhlak pengikut GISBH

Iklan
Saarani (dua dari kanan) bersama Anuar Zainal (kanan) meninjau operasi Terra Mineral Lab Sdn Bhd (TML) dan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Mineral pada Khamis.

GOPENG - Kerajaan Perak akan mengikuti langkah negeri lain menubuhkan jawatankuasa khas bagi tujuan pemantauan dan pemulihan akhlak pengikut GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perincian jawatankuasa itu akan dibincangkan secara bersama dalam persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) yang diadakan dalam masa terdekat.

Iklan
Iklan

"Sudah tentulah ada tindakan. Nanti akan ada persidangan majlis agama negeri dan kita akan bawa untuk dibincangkan secara menyeluruh.

"Isu ini tidak boleh diambil berdasarkan satu-satu kes sahaja kerana ada kaitannya dengan kes yang terlebih dahulu (diharamkan) iaitu al-Arqam dan Rufaqa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Terra Mineral Lab Sdn Bhd (TML) dan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Mineral di Kawasan Perindustrian Gopeng di sini pada Khamis.

Iklan

Hadir sama, Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) Perak, Anuar Zainal Abidin.

Saarani turut memaklumkan, pihaknya telah mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk menghadap dan menyembah maklum perkembangan isu GISBH di negeri ini, Isnin depan.

Iklan

Katanya, laporan terperinci termasuk operasi dan tangkapan telah disiapkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) yang merupakan pihak bertanggungjawab mengendalikan kes tersebut.

"Insya-ALLAH minggu hadapan hari Isnin saya akan perkembahkan kepada Tuanku laporan dan dapatan yang diberikan JAIPk," katanya.

Media melaporkan, Kerajaan Johor menubuhkan Jawatankuasa Khas Pemurniaan Pengikut GISBH di negeri itu oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) menerusi mesyuaratnya yang ke-275.

Selangor juga dilapor akan menubuhkan satu jawatankuasa kerja dianggotai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), agensi kerajaan negeri dan Exco berkaitan bagi menyelaras dan memantau situasi semasa serta keperluan anak yang terbabit dengan GISBH.