BERITA bintang baharu Johor Darul Ta’zim (JDT), Liridon Krasniqi sah mendapat taraf kerakyatan warganegara Malaysia pantas mendapat perhatian peminat dan penyokong bola sepak tempatan.
Kebanyakan mereka cukup teruja apabila mengetahui Liridon atau lebih terkenal dengan gelaran Mat Don hanya selangkah lagi untuk menyarung jersi skuad Harimau Malaya atas kapasiti pemain naturalisasi.
Bagi mereka, kelibat Liridon bersama Harimau Malaya nanti diharap mampu mencetus impak positif sebagaimana yang dipamerkan Mohamadou Sumareh – pemain naturalisasi pertama Harimau Malaya.
Namun, ada beberapa orang rakan yang bertanya kepada Merak Jalanan, mampukah Liridon memberi nafas baharu kepada Harimau Malaya? Ada juga yang bertanya, berbaloikah Liridon ada bersama Harimau Malaya?
Malah, ada pula yang bertanya, bukankah Liridon pemain yang ‘besar kepala’ dan sering membawa masalah – bukan saja kepada jurulatih tetapi juga kepada rakan-rakan sepasukannya?
Sebelum menjawab soalan bertubi-tubi daripada rakan-rakan tadi, Merak Jalanan menghela nafas panjang dulu, takut nanti apa yang dijawab tak memuaskan hati kawan-kawan.
Secara peribadi memang Merak Jalanan tidak mengenali dengan dekat siapa sebenarnya Liridon, pemain yang sudah mencecah usia 28 tahun kelahiran Kosovo dan pernah menyarung jersi Kedah dan Melaka United itu.
Namun, sepanjang empat musim menabur bakti di Kedah, kita semua tidak dapat menyangkal lagi betapa dia memiliki karisma tersendiri ketika menjadi jeneral tengah Lang Merah.
Andai Liridon bermain bersama Harimau Malaya nanti, kita sebagai peminat dan penyokong setia bola sepak negara cubalah beri peluang dulu kepadanya untuk membuktikan kemampuan di tengah padang. Jangan terlalu cepat kita menjatuhkan hukum.