Pelancong Malaysia tertinggi ke Indonesia pada Ogos 2024

Iklan
Malaysia mencatatkan jumlah pelancong tertinggi ke Indonesia pada Ogos 2024 dengan 188,750 pengunjung.

JAKARTA - Malaysia mencatatkan jumlah pelancong tertinggi ke Indonesia pada Ogos 2024 dengan 188,750 pengunjung, merangkumi 14.09 peratus daripada keseluruhan ketibaan pelancong, menurut Badan Pusat Statistik (BPS).

Pemangku Ketua BPS, Amalia Adininggar Widyasanti berkata, jumlah pengunjung dari Malaysia meningkat 6.21 peratus berbanding bulan sebelumnya dan hampir lapan peratus berbanding Ogos tahun lalu.

Iklan
Iklan

"Selepas Malaysia, pengunjung dari Australia berjumlah 153,720 orang, diikuti oleh pelancong China seramai 126,080 orang," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Amalia, kebanyakan pelancong Malaysia dan China tiba melalui Lapangan Terbang Soekarno-Hatta di Banten, manakala pelancong dari Australia masuk melalui Lapangan Terbang I Gusti Ngurah Rai di Bali.

Iklan

Secara purata, pelancong menginap selama 8.27 malam di Indonesia pada Ogos, dengan pengunjung dari negara ASEAN mencatat tempoh penginapan paling singkat iaitu 3.54 malam, manakala pelancong dari Afrika tinggal paling lama iaitu 15.66 malam.

Dari segi kewarganegaraan, pelancong dari Yaman mencatat tempoh penginapan individu paling lama dengan purata 27.83 malam, berbanding purata tempoh penginapan paling singkat iaitu 2.02 malam bagi pelancong dari Hong Kong.

Iklan

Amalia turut menggariskan pemulihan sektor pelancongan Indonesia, dengan ketibaan seramai 9.09 juta pelancong dari Januari hingga Ogos 2024, menandakan peningkatan sebanyak 20.38 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu. - Bernama