Tak sampai empat jam polis berjaya tangkap suspek pecah kedai

Iklan
Polis menahan seorang lelaki tidak sampai empat jam selepas menerima laporan mengenai kejadian pecah masuk sebuah kedai runcit di Taman Halacara Baru Londah, Gemas, Tampin di sini, pada Rabu. Gambar hiasan

TAMPIN - Polis menahan seorang lelaki tidak sampai empat jam selepas menerima laporan mengenai kejadian pecah masuk sebuah kedai runcit di Taman Halacara Baru Londah, Gemas, Tampin di sini, pada Rabu.

Lelaki berusia 21 tahun itu ditahan pada jam 2.40 petang selepas polis menerima laporan kejadian jam 11.21 pagi.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Amiruddien Sariman berkata, pemilik kedai berkenaan memaklumkan kedainya dipecah masuk sekitar jam 2 pagi, dan mengalami kerugian RM400.

"Bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Tampin telah berjaya menangkap suspek berusia 21 tahun yang disyaki terlibat dalam kes itu pada jam 2.40 petang," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Iklan

Menurutnya, suspek ditahan di taman sama dalam tempoh kurang dari empat jam selepas laporan polis dibuat pemilik kedai.

Ujarnya, hasil semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek pernah terlibat dalam satu kes di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan (KK) iaitu pencerobohan rumah, enam kes pecah rumah dan tiga kes melibatkan Seksyen (15) (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1957.

Iklan

"Hasil ujian saringan mendapati pemuda itu positif dadah jenis methamphethamine dan kini direman empat hari bermula hari ini (Khamis) bagi membantu siasatan," katanya.