APABILA seorang wanita disahkan mengandung, banyak pantang larang perlu dijaga oleh ibu hamil dan suaminya turut terlibat sama kerana bimbang terkena kenan pada bayi dalam kandungan.
Kenan dalam masyarakat Melayu menggambarkan keadaan bayi tidak sempurna yang lazimnya dikaitkan dengan fizikal atau karakter haiwan tertentu.
Ya, masyarakat kita sememangnya ‘kaya’ dengan kepercayaan sebegitu sejak zaman nenek moyang dulu lagi dan ada segelintir generasi kini yang masih patuh dengan ‘larangan’ tersebut.
Disebabkan itu terdapat pasangan yang begitu berhati-hati dalam melakukan suatu perkara kerana bimbang kesan kenan tersebut.
Menerusi satu soalan yang diajukan kepada Jabatan Mufti Negeri Sembilan di laman webnya, seorang lelaki bertanyakan sama ada dirinya boleh membela ikan hiasan yang mempunyai rupa pelik ketika isterinya sedang hamil.
Ini kerana dia kerana bimbang terkena kenan pada bayinya yang bakal lahir kelak.
Menjawab persoalan itu, Jabatan Mufti Negeri Sembilan menjelaskan, harus untuk memelihara haiwan ternakan atau hiasan dengan syarat kebajikan dan makan minumnya dijaga dengan baik.
"Ia dikatakan syirik kerana terdapat keyakinan dalam hati bahawa adanya kuasa lain yang dapat mempengaruhi kehidupannya.
"Sebagai contoh, mengaitkan kecacatan dan kemudaratan yang dialami bayi disebabkan oleh binatang tersebut,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel bertajuk ‘Kenan’.
Perkara itu katanya, dilarang sama sekali bagi mengelakkan kita terjerumus dalam mensyirikkan ALLAH SWT.
"Sebaliknya kita hendaklah sentiasa bertawakal dan bersangka baik kepada ALLAH SWT apabila berlaku musibah, bukan menyalahkan perkara tertentu atau sesuatu itu sebagai pembawa malang atau sial.
"Ingatlah, berpegang teguhlah kepada kekuasaan ALLAH SWT dan serahkanlah segala urusan sepenuhnya kepada-NYA,” ungkapnya.
Ia selari dengan firman ALLAH SWT: "Dan (ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada ALLAH, maka ALLAH cukupkan baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya).” (Surah at-Talaq: 3)