Pemansuhan hutan simpan tidak dilakukan sewenangnya - Saarani

Iklan
Saarani (Laporan Sinar Harian)

GOPENG - Kerajaan Perak memberi jaminan pemansuhan 548 hektar Hutan Simpan Kekal Segari Melintang di Teluk Mengkudu, Manjung yang diluluskan bagi projek pembangunan kuari tidak akan menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan penduduk di kawasan terbabit.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perkara itu telah pun mendapat kelulusan daripada jabatan teknikal termasuk Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Iklan
Iklan

"Kerajaan negeri tidak sewenangnya membuat keputusan untuk menyahwarta kawasan hutan.

"Sebelum dibawa kepada kelulusan Exco, ia terlebih dahulu dirujuk kepada jabatan-jabatan teknikal terlibat bagi Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA).

Iklan

"Sekiranya tiada bantahan barulah diluluskan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Terra Mineral Lab Sdn Bhd (TML) dan Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Mineral (CoE) di Kawasan Perindustrian Gopeng di sini pada Khamis.

Hadir sama, Exco Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) Perak, Anuar Zainal Abidin.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas desakan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar yang menggesa kerajaan negeri memperhalusi semula pemansuhan pewartaan Hutan Simpan Kekal Segari Melintang tersebut.

Langkah pemansuhan bagi memberi laluan projek kuari itu dikatakan telah menimbulkan kebimbangan kepada komuniti nelayan dan penduduk sekitar kerana akan memberi kesan jangka masa panjang terhadap ekonomi setempat.

Saarani berkata, pihaknya maklum akan kebimbangan yang disuarakan penduduk, namun mengingatkan pelaksanaan projek berkenaan juga penting bagi menjana ekonomi negeri.

"Dalam proses kita membangunkan negeri, kita tidak ada pilihan melainkan mengorbankan beberapa perkara, tetapi dalam masa sama kita menjamin kesejahteraan, keselamatan dan kemakmuran rakyat," katanya.