KUBANG PASU - Walaupun jasad pesara Felcra, Sabari Baharom, 62, tidak ditemukan di Sungai Padang Terap, isterinya, Subhiah Ruslina Shahibi, 57, akan menganggap Jambatan Kampung Empa sebagai pusara suaminya.
Subhiah Ruslina berkata, jika ada kelapangan, dia akan mengunjungi Jambatan Kampung Empa kerana itu merupakan lokasi suaminya dicampak ke sungai.
"Selagi jasad suaminya belum ditemui, saya anggap tempat inilah pusara suami.
"Hari ini sebelum saya pulang ke Kuala Lumpur, saya melawat sekali lagi lokasi suami saya dicampak.
"Saya juga difahamkan ketika itu suami nak buang air kecil, mereka buka pintu kereta dan terus campak dia ke sungai," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Jambatan Kampung Empa di sini pada Khamis.
Menurutnya, selepas operasi mencari jasad suami menemui jalan buntu, pihaknya akan mengadakan solat ghaib.
"Biro Agama Felcra dekat surau buat solat ghaib. Saya kata buat sahajalah mana yang baik. Pencarian dah diberhentikan, bermakna kita kena terima.
"Kalau ada keajaiban tu (jasad dijumpai) lain ceritalah. Kita buat apa yang patut pada waktu sekarang," katanya.
Dalam pada itu, Subhiah berkata, dia berpuas hati dengan tindakan pihak berkuasa dalam menguruskan kes kehilangan suaminya.
"Saya faham sebab kejadian sudah lama berlaku, mereka pun sudah cuba sehabis baik.
"Polis memberitahu di kawasan itu ada air pusar, jadi kalau teruskan pencarian bahaya, tetapi mereka akan usaha sedaya untuk dakwa suspek," katanya.
Subhiah menambah, dia tidak menolak sekiranya ada orang kampung yang berhasrat meneruskan pencarian jasad suaminya dengan cara tradisional.
"Buat saja lah, selagi benda itu baik, kita tak halang," katanya yang kelihatan tenang.
Pada Isnin, Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh mengesahkan Sabari telah dicampak ke dalam Sungai Padang Terap dengan tangan diikat dan mulut ditutup menggunakan pita pelekat.
Katanya, maklumat itu diperoleh hasil pengakuan dua lelaki tempatan berusia 26 dan 38 tahun yang berjaya ditahan polis pada Jumaat lalu.
Sebelum ini anak-anak Sabari membuat hebahan di media sosial mengenai kehilangan bapa mereka.
Bapa kepada tiga cahaya mata itu dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Mengkuang Tengah di Kuala Pegang, Baling dengan menaiki kereta jenis Proton Waja pada 4 September lalu.
Kehilangan warga emas itu disedari anaknya selepas telefon bimbit dimatikan selain terdapat transaksi pengeluaran wang dari akaun bank milik Sabari.
Kereta terbabit kemudian ditemui hangus terbakar di Belantik, Sik dekat sini.