KUALA LUMPUR - Majlis Datuk Dato' Malaysia (MDDM) mencadangkan agar setiap dokumen tertera nama individu yang mempunyai gelaran, disertakan dengan singkatan darjah kebesaran bagi gelaran tersebut termasuk dari mana ia diperolehi.
Presidennya, Datuk Awalan Abdul Aziz berkata, tatacara tersebut sebagai salah satu cara untuk mengesan sama ada seseorang itu menggunakan gelaran dan darjah kebesaran yang sah.
Menurutnya, berdasarkan laporan-laporan dan maklum balas yang diterima pihaknya, kebanyakan kes penipuan dan penyalahgunaan darjah kebesaran ini dikesan melalui dokumen-dokumen rasmi, surat menyurat dan yang paling banyak adalah melalui kad nama.
Justeru, sebagai salah satu cara untuk memudahkan mengesan sama ada seseorang itu menggunakan gelaran dan darjah kebesaran yang sah, MDDM mencadangkan agar suatu peraturan atau tatacara dapat dibuat.
"Di mana setiap dokumen yang mempunyai gelaran di hadapan nama individu tersebut, diwajibkan agar di belakang namanya diletakkan singkatan (abbreviation) darjah kebesaran bagi gelaran tersebut, berserta dari mana gelaran tersebut diperolehi.
"Sekurang-kurangnya 'abbreviation' dan dari mana gelaran yang diletakkan di hadapan namanya (terutamanya kepada yang mempunyai terlalu banyak darjah kebesaran, bintang dan pingat.
"Sebagai contoh; Tan Sri Dato' Sri Ali bin Abu, PSM (Pers), SSAP (Phg). Perkara ini telah diterima pakai oleh Bahagian Istiadat dan Urusetia Persidangan Antarabangsa (BIUPA), Jabatan Perdana Menteri di dalam Senarai Rasmi Protokol Persekutuan,"katanya ketika berucap merasmikan Forum Akta 787 'Memelihara Kemuliaan Darjah Kebesaran', di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, Awalan berkata, kes-kes penyalahgunaan darjah kebesaran juga dilihat semakin meningkat dengan beberapa modus operandi yang telah dikenal pasti termasuk individu yang menggunakan gelaran palsu untuk kepentingan peribadi sejak bertahun-tahun lamanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, pemerkasaan terhadap Akta 787 serta pindaan klausa-klausa tertentu wajar dilaksanakan bagi memperkukuh akta berkenaan agar merangkumi seluruh negara termasuk meningkatkan hukuman sama ada penjara mahupun nilai denda.
"Kebanyakannya kerana tujuan tertentu dan selalunya untuk tujuan yang tidak baik, maka kita perlu menguar-uarkan perkara ini supaya tidak lagi berlaku.
"Jadi kita kena pastikan Akta 787 ini dapat merangkumi seluruh negara kerana hal yang berkaitan dengan Persekutuan ada Akta 787, tetapi negeri-negeri juga kita mohon agar mereka turut melaksanakan enakmen-enakmen yang tertentu untuk memberi sokongan kepada perlaksanaan akta ini.
"Penting untuk memelihara kemuliaan darjah kebesaran bagi memastikan tidak ada penyalahgunaan darjah-darjah kebesaran ini di bawah Akta 787 ini,"katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya kini masih menunggu panggilan mesyuarat berhubung
Kertas Cadangan penambahbaikan dan pindaan Akta yang telah dikemukakan ke Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Reformasi Institusi) dan juga kepada pihak Peguam Negara sejak awal tahun ini.