Along paksa, ugut mangsa buat pinjaman

Iklan
JSJK Bukit Aman kesan modus operandi sindiket along yang memaksa serta mengugut mangsa untuk membuat pinjaman. Foto hiasan (Gambar kecil: Ramli)

KUALA LUMPUR - Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman mengesan modus operandi sindiket along yang memaksa serta mengugut mangsa untuk membuat pinjaman.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya ada menerima aduan daripada mangsa yang mendakwa telah diugut dan dipaksa oleh along untuk membuat pinjaman, pada Rabu.

Iklan
Iklan

"Mangsa mendakwa telah memulangkan semula sejumlah wang dan tidak mahu membuat pinjaman, namun dia telah diugut oleh sindiket along.

"Ia merupakan salah satu taktik sindiket along yang memaksa mangsa untuk membuat pinjaman," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Iklan

Ramli berkata, orang ramai juga dinasihatkan agar sentiasa berwaspada terhadap taktik sindiket along yang mengiklankan tawaran pinjaman di laman sosial.

"Ada iklan-iklan tersebut memaparkan logo jata negara dan logo bank negara serta mengakui kononnya mereka adalah ‘berlesen'.

Iklan

"Jangan buat pinjaman atau apa-apa permohonan daripada along kerana apabila permohonan itu lulus, namun mangsa tidak mahu, mereka akan dipaksa sehingga mengambil wang pinjaman itu," ujarnya.

Mengulas lanjut, Ramli berkata, sekiranya mangsa gagal membuat bayaran sepertimana yang dikehendaki, along akan mengambil beberapa tindakan bagi tujuan memalukan mangsa.

"Sindiket along akan mencemarkan nama mangsa atau memaparkan identiti peminjam di laman sosial seperti Facebook serta ahli keluarganya," katanya.

Ramli berkata, orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan pinjaman wang daripada istitusi perbankan yang mempunyai lesen sah diperakui oleh Bank Negara.

"Pihak bank juga perlu ada skim bantuan kewangan kepada individu yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau peniaga kecil bagi mengelak mereka meminjam along.

"Selain itu, orang ramai boleh mendapatkan nasihat daripada mana-mana konsultan kewangan seperti Agensi Kewangan dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi mereka yang mempunyai masalah kewangan dan bukannya mendapatkan perkhidmatan along," katanya.