Zii Jia tekad tampil aksi cemerlang di Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir 2024

Iklan
Lee Zii Jia

PEMAIN perseorangan profesional lelaki negara Lee Zii Jia bertekad menampilkan aksi cemerlang dalam kejohanan di Eropah bagi memastikan kedudukannya kekal selamat untuk melayakkan diri ke Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir 2024 di Hangzhou, China Disember ini.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 berusia 26 tahun itu menyatakan bahawa beliau akan sentiasa menjaga kecergasan fizikalnya bagi memastikan dirinya mampu mencapai matlamat itu.

Iklan
Iklan

"Saya akan bertanding di semua kejohanan (di Eropah) sebab kalau tengok ranking sekarang, untuk World Tour Final itu berada dalam kedudukan keenam dan selagi kondisi saya okay, boleh bersaing di pertandingan, saya akan main.

"Sudah tentu saya berharap dapat mengulangi apa yang saya lakukan tahun lepas di Finland dan Denmark. Bukan hanya untuk pencapaian dan keputusan saya, tetapi juga untuk mata ranking, jadi saya perlu kekalkan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Insentif Sukan Olimpik Paris 2024 di Majlis Sukan Negara di sini hari ini.

Iklan

Pada aksi kejohanan di Eropah tahun lepas, Zii Jia muncul juara Terbuka Artik 2023 selain naib juara Terbuka Denmark 2023 dan Terbuka Artik 2024 akan berlangsung di Vantaa, Finland dari 8-13 Okt selain Terbuka Denmark 2024 bakal diadakan di Odense dari 15-20 Oktober.

Hanya lapan terbaik bagi kesemua kategori (perseorangan dan beregu) layak ke Jelajah Dunia Akhir 2024 dengan setiap negara dibenarkan menghantar dua wakil maksimum.

Iklan

Ditanya sama ada pengurusan Team LZJ akan melakukan rombakan selepas Sukan Olimpik Paris 2024 baru-baru ini, beliau menyatakan bahawa perkara berkenaan belum dibincangkan secara terperinci, namun memberi jaminan akan berkongsi sebarang perkembangan jika perkara itu berlaku.

Sementara itu, beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik berkata selepas berehat panjang susulan berakhirnya Sukan Olimpik Paris 2024 pada Ogos lepas, mereka kini sedang merangka strategi untuk meraih kemenangan di Terbuka Denmark 2024 bagi memulihkan keyakinan diri.

"Sudah tentu kami mahu menang untuk mengembalikan keyakinan dan cara permainan terbaik dari Olimpik, jadi kita lihat bagaimana keadaannya di Finland dan Denmark,” kata Wooi Yik.

Aaron- Wooi Yik muncul juara Terbuka Denmark pada tahun lepas.

Pasangan ranking kelima dunia itu sebelum ini terpaksa menarik diri daripada Terbuka China 2024 di Changzhou pada 17 hingga 22 Sept selepas Wooi Yik belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan retak tulang jari kaki semasa perlawanan separuh akhir Sukan Olimpik Paris 2024. - Bernama