JKR, PBT siasat, ambil tindakan jalan rosak di Pulau Pinang - Exco

Iklan
Zairil

GEORGE TOWN - Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan akan menjalankan siasatan dan mengambil tindakan segera ke atas jalan berlubang di beberapa lokasi di negeri ini.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, kerajaan negeri mengambil maklum mengenai kenyataan yang dibuat Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengenai jalan rosak dan berlubang di beberapa lokasi yang dikenal pasti.

Iklan
Iklan

"Untuk jalan Persekutuan, JKR akan menjalankan siasatan dan mengambil tindakan segera. Bagi jalan negeri, PBT berkaitan akan mengambil tindakan yang sama.

"Kita mengambil makluman aduan yang dibuat CAP mengenai keadaan jalan raya yang berlubang dan rosak di lokasi yang dinyatakan," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Iklan

Sebelum ini, CAP menggesa kerajaan Pulau Pinang supaya mengkaji semula piawaian pembinaan dan penyelenggaraan jalan raya berikutan banyak jalan berlubang dan permukaan jalan tidak rata dikesan di negeri ini.

CAP berkata, perkara itu akan mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya.

Iklan

Dalam tinjauan yang dibuat CAP baru-baru ini mendapati, antara jalan utama yang rosak ialah di Jalan Thean Teik, Jalan Paya Terubong, Jalan Jelutong, Jalan Perak, Jalan Bukit Gambir dan beberapa jalan lain di kawasan perumahan.

Dalam pada itu, Zairil berkata, orang awam boleh membuat aduan mengenai jalan rosak atau berlubang melalui saluran rasmi JKR seperti MyJalan, emel ke aduan JKR dan talian aduan JKR.

"Begitu juga jika ia melibatkan jalan raya negeri, orang awam boleh membuat aduan kepada PBT berkaitan.

"Pihak JKR dan PBT sentiasa memperkemaskan pasukannya di setiap daerah untuk memantau kerosakan jalan raya dan akan mengambil tindakan segera..

"Selain itu, JKR juga akan sentiasa memastikan penyelenggaraan jalan akan dilaksanakan mengikut SOP yang ditetapkan," katanya.

Mengulas lanjut, Zairil berkata, jalan berlubang berlaku disebabkn oleh beberapa faktor antaranya kehadiran air yang merupakan agen pengancam, mengganggu penstrukturan tanah atau jalan yang mana akan melemahkan struktur jalan.

"Selain itu, antara faktor lain adalah kualiti turapan semula jalan oleh kontraktor utiliti (bukan kontraktor jalan) yang tidak memuaskan.

"Kenderaan lebih muatan yang menyebabkan jalan rosak sekali gus menjadikan kitaran hayat jalan menjadi lebih singkat dan penuaan 'premix' yang melebihi tempoh hayat juga merupakan salah satu faktor berlakunya jalan rosak atau berlubang," katanya.