GENTING HIGHLANDS - Lebih 16,000 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) diletakkan dalam mod bersiap siaga untuk menghadapi Monsun Timur Laut lebih awal, susulan kejadian hujan lebat serta banjir yang melanda beberapa kawasan seluruh negara baru-baru ini.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, terdapat sedikit perbezaan pada trend taburan hujan yang lebat pada tahun ini sehingga menyebabkan kejadian banjir di Kedah dan beberapa kawasan lain dan pihaknya terpaksa meletakkan semua anggotanya serta 8,000 anggota bomba sukarela dalam mod berjaga-jaga lebih awal.
Beliau berkata, pihaknya juga telah mengarahkan semua JBPM di peringkat negeri dan daerah untuk mengadakan mesyuarat bagi membincangkan perincian tindakan serta perancangan yang akan diambil jika berlaku bencana susulan Monsun Timur Laut.
Aset-aset marin dan logistik juga berada dalam keadaan siap siaga untuk digerakkan ke lokasi berlaku banjir jika diperlukan, yang melibatkan lebih 500 aset marin dan 450 lori pengangkut, katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas majlis pecah tanah Balai Bomba dan Penyelamat Gohtong Jaya di sini hari ini.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming.
Turut hadir Timbalan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Genting Malaysia Berhad Tan Sri Lim Kok Thay.
"Pada tahun ini, kita berada pada fasa yang lebih selesa untuk beroperasi kerana telah melakukan penyusunan peruntukan yang lebih baik dan pembaikan jentera serta lori angkut sedang giat dilaksanakan di peringkat negeri. Apabila semua ini siap, saya percaya persiapan kita akan berada dalam keadaan yang lebih baik," kata Nor Hisham.
Timbalan Ketua Pengarah (Strategik) Jabatan Meteorologi Malaysia Ambun Dindang dilaporkan sebagai berkata, Monsun Timur Laut 2024/2025 dijangka bermula pada November ini dan berterusan sehingga Mac 2025, dengan ramalan sebanyak empat hingga enam episod hujan lebat berterusan sepanjang tempoh itu.
Episod hujan lebat dijangka berlaku di negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang antara November hingga Disember ini manakala hujan lebat dijangka lebih tertumpu di negeri Johor, Sabah dan Sarawak bermula Disember ini hingga Januari 2025.
Mengulas lanjut, Nor Hisham berkata, pihaknya akan menempatkan sebuah helikopter milik jabatan berkenaan di Wakaf Tapai, Terengganu sebagai persiapan banjir di negeri Pantai Timur manakala, penempatan aset-aset lain akan dilakukan bergantung kepada tahap keterukan banjir yang berlaku.
Beliau berkata, JBPM juga bersiap-sedia untuk menggerakkan semua anggotanya termasuk anggota bomba sukarela ke mana-mana lokasi kejadian sekiranya diperlukan.
Menurutnya cuti akan dibekukan bagi anggota yang bertugas di daerah yang mengalami bencana, di samping penjadualan semua waktu kerja daripada 12 jam sehari kepada 24 jam bagi memastikan kelancaran operasi menyelamat.
Dalam pada itu, Nor Hisham menasihatkan orang ramai untuk menangguhkan percutian di kawasan-kawasan peranginan air menjelang musim Monsun Timur Laut ini.
Katanya orang ramai perlu lebih cakna dengan ramalan cuaca yang dikeluarkan agar dapat mengelak daripada terperangkap dalam sebarang bencana seperti tanah runtuh atau kepala air ketika melakukan aktiviti rekreasi di kawasan air terjun atau di lereng-lereng bukit. - Bernama