KERAJAAN Pahang bersetuju menaikkan insentif pingat emas atlet Para Sukan Malaysia (Para Sukma) daripada RM5,000 kepada RM6,000 sebagaimana yang diberikan kepada atlet Sukma sebelum ini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keputusan itu dibuat menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) bagi menghargai pencapaian membanggakan atlet Para Sukma di negeri ini.
"Selain itu, insentif bagi pemenang pingat perak ialah RM3,000 manakala pingat gangsa RM2,000.
"Syabas kepada Kontinjen Para Sukma Pahang yang diterajui Fadzli Mohamad Kamal (Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan- Badan Bukan Kerajaan) dan YB (Yang Berhormat) Khairulnizam Mohd Zuldin, (Ahli Dewan Undangan Negeri,Kemayan) atas pencapaian yang membanggakan ini," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis
Wan Rosdy memberitahu, secara keseluruhannya atlet Para Sukma Pahang berjaya meraih 29 pingat dengan 15 emas, lima perak dan sembilan gangsa.
Katanya, Pahang menduduki tangga ketujuh secara keseluruhan.
"Malah, apa yang membanggakan, mereka juga telah berjaya melepasi sasaran 10 pingat emas yang ditetapkan sebelum ini.
"Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada atlet Para Sukma Pahang yang telah menyertai Para Sukma XXI di Sarawak pada 22 hingga 28 September lalu," katanya.
Wan Rosdy menambah, kejayaan diraih atlet para menjadi inspirasi kepada semua pihak hasil daripada ketekunan dan semangat juang yang luar biasa.
"Teruskan usaha ini dan jadikan pengalaman di Sarawak sebagai pembakar semangat untuk kejayaan yang lebih besar terutamanya dalam menghadapi Para Sukma di Selangor pada tahun 2026," katanya.