12 anggota, pegawai polis positif dadah di pusat hiburan digantung tugas serta-merta - KPN

Iklan
Razarudin Husain

KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengarahkan agar pegawai dan anggota polis yang disahkan positif dadah dalam serbuan Op Noda di sebuah pusat hiburan di Sungai Petani, Kedah semalam digantung tugas serta-merta.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, dua pegawai kanan serta 10 pegawai rendah polis didapati positif dadah jenis ketamin dan amfetamina.

Iklan
Iklan

Mereka adalah antara 31 yang disahkan positif dadah daripada 48 individu ditahan dalam serbuan yang dijalankan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.

"Saya telah mengarahkan Ketua Polis Kedah (Datuk Fisol Salleh) untuk menggantung tugas anggota terbabit serta-merta.

Iklan

"Selain itu, kami akan mengambil tindakan terhadap penyelia mereka di bawah Peraturan 3C Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, penyelia anggota yang ditahan dalam serbuan itu berdepan tindakan dipindahkan kerana dianggap tidak layak menguruskan anggota bawahan.

Iklan

"Kita ditugaskan untuk menguatkuasakan undang-undang dan bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan awam. Anggota seharusnya sentiasa bertindak mengikut lunas undang-undang.

"Biarlah ini menjadi amaran tegas kepada semua anggota, anda diamanahkan untuk menegakkan undang-undang tetapi itu tidak bermakna anda melebihi undang-undang,” katanya.

Beliau berkata, tindakan sewajarnya mengikut undang-undang akan diambil terhadap anggota yang didapati melakukan sebarang kesalahan jenayah.

"Kami tidak akan berdiam diri, berkompromi dan melindungi mereka yang mencemarkan imej pasukan polis," katanya. - Bernama