KOTA TINGGI - Kerajaan bersedia mengaktifkan sistem amaran awal banjir di seluruh negara yang merupakan panduan untuk memindahkan penduduk di kawasan terjejas lebih awal sebelum luruan hujan Monsun Timur Laut (MTL).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, agensi keselamatan di peringkat negeri dan Persekutuan juga telah diarahkan mengenal pasti kawasan berpotensi dinaiki air terutama di kawasan pedalaman.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Pusat juga mahu semua negeri terutama yang kerap dilanda banjir agar melakukan persediaan dan menambah baik cara pengurusan risiko menghadapi bencana banjir.
"Alat khas ini tidak menggunakan tenaga elektrik kerana risiko tenaga elektrik terputus ketika bencana, jadi ia menggunakan kombinasi solar dan bateri.
"Jadi kita sudah bersiap siaga dengan sistem amaran awal selain pergerakan pasukan penyelamat yang akan di koordinasi bagi membantu kawasan bencana," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2024 di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Taman Kota Jaya dekat sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin merangkap Ahli Parlimen Kota Tinggi.
Monsun Timur Laut dilaporkan dijangka bermula pada November depan dan berterusan sehingga Mac 2025 dengan ramalan empat hingga enam episod hujan lebat berterusan sepanjang tempoh itu.
Timbalan Ketua Pengarah (Strategik) Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Ambun Dindang dilaporkan berkata, hujan lebat diramal melanda Kelantan, Terengganu dan Pahang antara November hingga Disember depan.
Dalam pada pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kerajaan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah menambah baik Pusat Pemindahan Sementara dengan memperkenalkan inisiatif Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB).
"Bagi Negeri Johor, Sekolah Kebangsaan Seri Medan, Batu Pahat merupakan lokasi yang terpilih dan pembinaan ini dijangka siap pada November 2025.
"Selain itu, Dewan Serbaguna Taman Kota Jaya milik Majlis Daerah Kota Tinggi merupakan PPKB yang pertama siap dinaiktaraf dan bersedia untuk digunakan bagi menghadapi MTL pada tahun ini.
"PPKB yang akan dibina sebagai perintis dengan melibatkan sembilan negeri yang telah dikenal pasti iaitu Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Perak, Kedah, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak," ujarnya.