Kerajaan tubuh Jawatankuasa Kluster Indikator Keterjaminan Makanan

Iklan
Fadillah (kiri) dan Mohamad (kanan) ketika Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara yang bersidang pada Khamis

SHAH ALAM - Kerajaan menubuhkan satu Jawatankuasa Kluster Indikator Keterjaminan Makanan Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara bagi memudahcara pembangunan, pengurusan dan pemantauan data berkaitan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perkara itu antara inisiatif yang diputuskan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara yang bersidang pada Khamis.

Iklan
Iklan

Menurutnya, antara lain kerajaan juga akan memperkasakan industri akuakultur menerusi pembangunan kawasan Zon Industri Akuakultur (ZIA) bagi memenuhi peningkatan permintaan domestik dan menggalakkan eksport melalui naik taraf infrastruktur serta galakan pelaburan.

"Mesyuarat juga memperhalusi inisiatif untuk membangunkan industri ruminan negara melalui pemerkasaan Program Pembangunan Ruminan bagi mencapai Kadar Sara Diri (SSR) 25 peratus bagi daging lembu dan kerbau menjelang 2030.

Iklan

"Selain itu, mesyuarat memutuskan untuk mengukuhkan pengurusan kerintangan antimikrob (AMR) melalui penambahbaikan polisi dan garis panduan pelepasan efluen bagi sektor pertanian, ternakan dan akuakultur serta pelaksanaan penyelidikan berterusan berhubung impak dan mitigasi bahan cemar AMR," katanya dalam satu kenyataan.

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadhilah Yusof, di Wisma Tani, Putrajaya.

Iklan

Ia turut melibatkan pelbagai kementerian dan agensi yang berperanan merangka cadangan hala tuju keterjaminan makanan negara lebih inklusif serta mencadangkan strategi berfokus Kerajaan dalam menangani isu keterjaminan makanan negara.

Dalam pada itu, Mohamad menambah, mendepani situasi keterjaminan makanan negara, pendekatan Whole of Government, Whole of Society (WoGoS) penting bagi memantapkan aspek keterjaminan makanan dalam berhadapan dengan persekitaran yang sentiasa berubah, tidak menentu, rumit dan samar (VUCA).

Justeru katanya, saranan konstruktif yang diketengahkan dalam mesyuarat tersebut akan ditambah baik sebelum diangkat untuk pertimbangan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara kelak.

"Keterjaminan makanan merupakan tanggungjawab bersama dan satu keutamaan nasional.

"Kolaborasi strategik antara semua pihak amat penting dalam memastikan Malaysia kekal teguh dalam menghadapi cabaran keterjaminan makanan pada masa hadapan, demi kelangsungan sistem makanan negara," katanya.