PUTRAJAYA - Kerajaan kekal dengan pendirian memastikan akses pendidikan dinikmati semua golongan walaupun terdapat cadangan menghentikan subsidi kepada anak golongan kaya di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA).
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, dasar terbabit terus diberi keutamaan kepada semua golongan bermula daripada pendidikan di peringkat rendah hingga ke IPT.
"Saya ingin membetulkan kepada mana-mana pihak yang mengatakan kita cuba nak mendiskriminasikan di peringkat (pendidikan tinggi), itu tidak benar.
"Saya harap pihak tersebut tidak memanipulasikan apa yang disebutkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana beliau menyuarakan dari segi pendidikan tinggi,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu 2024 di sini pada Khamis.
Semalam media melaporkan kerajaan akan menghentikan subsidi pendidikan kepada anak golongan kaya di IPTA yang akan dilaksanakan selepas mendapat kelulusan Kabinet.
Keputusan itu membuktikan kerajaan cakna dan mahu golongan berpendapatan tinggi mempunyai tanggungjawab moral terhadap ruang pendidikan kepada golongan rentan yang lebih memerlukan.
Bagaimanapun, keputusan itu mengundang polemik dalam kalangan masyarakat yang beranggapan kerajaan akan menghentikan pemberian subsidi pendidikan di semua peringkat pendidikan.
Zambry berkata, keputusan itu dibuat kerana kerajaan ingin memastikan subsidi pendidikan dinikmati golongan memerlukan khususnya yang berpendapatan rendah dan sering menghadapi cabaran kewangan dalam meneruskan pengajian.
"Saudara-saudari sering mendengar kesusahan yang ditanggung oleh keluarga yang sukar untuk mendapat tempat, ini yang kita berikan keutamaan sebab dasar kerajaan adalah beri keutamaan kepada golongan B40 atau keluarga yang kurang kemampuan atau dianggap miskin tegar,” katanya.
Beliau mahu masyarakat memperbetulkan sudut pemahaman berhubung perkara itu dengan mendapatkan maklumat yang tepat bukannya mendengar spekulasi atau manipulasi daripada pihak tidak bertanggungjawab. - Bernama