TAIPING - Sepasang suami isteri kurang upaya (OKU) diselamatkan selepas kediaman mereka di Kampung Salak Baru, Trong di sini dinaiki air sedalam hampir satu meter dalam kejadian banjir kilat pada Khamis.
Semasa kejadian, kedua-dua mangsa berusia 75 dan 52 tahun dilaporkan terperangkap dalam rumah berkenaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, panggilan kejadian itu diterima pada jam 4.52 petang.
Menurutnya, rumah pasangan itu terletak berhampiran dengan sungai menyebabkan kawasan kediaman tersebut ditenggelami banjir dengan kedalaman 0.7 meter.
"Mangsa diserahkan kepada polis yang kemudiannya membantu menghantar mereka berpindah ke rumah saudara berhampiran," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Operasi disertai enam anggota itu tamat pada jam 5.21 petang.
Sementara itu, jumlah mangsa banjir di daerah Kerian meningkat sedikit kepada 39 orang setakat jam 4 petang berbanding 34 mangsa pada sebelah pagi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan, kesemua mangsa melibatkan 11 keluarga dipindahkan dari Kampung Matang Tengah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak, Bagan Serai yang dibuka pada jam 2 petang pada Rabu.