Poligami tidak didaftarkan beri kesan status, masa depan anak

Iklan
Poligami yang tidak didaftarkan boleh memberikan kesan kepada status dan masa depan anak yang dilahirkan. Foto hiasan

MELAKA - Poligami yang tidak didaftarkan boleh memberikan kesan kepada status dan masa depan anak yang dilahirkan, kata Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman.

Sehubungan itu, beliau berkata, mereka perlu mendaftarkan pernikahan di Mahkamah Syariah bagi mengelak sebarang kesulitan terutama melibatkan masa depan anak antaranya sukar mendaftar untuk bersekolah atau bekerja.

Iklan
Iklan

"Poligami memang dibenarkan dalam Islam tetapi perlu dilakukan mengikut proses yang betul kerana kita tidak mahu bila berlaku perkahwinan dan pasangan berkenaan mendapat zuriat, nama anak itu tidak boleh menggunakan 'bin’ atau ‘binti' dengan nama bapa terlibat.

"Apatah lagi, jika berkahwin dengan wanita warga asing yang mungkin mempunyai isu kewarganegaraan, lagi bermasalah ... bila dalam sijil pendaftaran kelahiran, status bapa tiada, status ibu pula bukan warganegara, ia memberi kesan kepada status anak," katanya kepada pemberita di Auditorium Al-Azim di sini hari ini.

Iklan

Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Penutup Forum Sempena Sambutan Maulidur Rasul 1446H dan Ceramah Kekeluargaan Peringkat Melaka anjuran Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Melaka dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM).

Poligami tanpa kebenaran Mahkamah Syariah Melaka di bawah Seksyen 124 Enakmen Kesalahan Syariah 1991 direkodkan meningkat kepada 28 kes dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini berbanding 15 kes sepanjang tahun lepas. - Bernama

Iklan