Rakyat Malaysia rugi AS$12.8 bilion setahun akibat penipuan - Gogolook

Iklan
Rakyat Malaysia rugi AS$12.8 bilion setahun akibat penipuan. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Rakyat Malaysia rugi AS$12.8 bilion setahun akibat penipuan iaitu bersamaan dengan tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, demikian menurut penyedia perkhidmatan TrustTech iaitu Gogolook, yang membangunkan aplikasi antipenipuan digital.

Gogolook dalam kenyataan hari ini memaklumkan Laporan State of Scam 2024 mendedahkan 70 peratus mangsa penipuan tidak melaporkan kes mereka kepada pihak berkuasa, mewakili penurunan sebanyak lima peratus berbanding tahun sebelumnya.

Iklan
Iklan

"Ini menunjukkan peningkatan keraguan mengenai keberkesanan proses pelaporan. Daripada mereka yang disoal selidik, 32 peratus responden pernah kehilangan wang akibat penipuan," menurut kenyataan itu.

Syarikat itu memaklumkan peningkatan penipuan yang dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI) amat membimbangkan kerana 25 peratus rakyat Malaysia menyatakan ketidakpastian sama ada AI terlibat dalam penipuan yang mereka hadapi.

Iklan

"Jurang dalam kesedaran ini menyebabkan rakyat Malaysia terdedah kepada penipuan lebih canggih yang mengeksploitasi teknologi terkini seperti video deepfake dan peniruan suara menjadikan ia lebih sukar dikesan," menurut Gogolook.

Syarikat itu juga memaklumkan laporan tersebut mendapati 74 peratus responden berdepan dengan penipuan sekurang-kurangnya sekali sebulan dengan 43 peratus mencatatkan peningkatan dalam percubaan untuk menipu sepanjang tahun lepas.

Iklan

"Tekanan emosi terhadap mangsa sangat mendalam dengan 57 peratus melaporkan kesan yang kuat akibat pengalaman mereka.

"Keadaan diburukkan lagi oleh kerugian kewangan dengan purata kerugian bagi setiap mangsa dilaporkan sebanyak AS$2,726 dan hanya dua peratus berjaya memulihkan simpanan mereka sepenuhnya, penurunan ketara daripada lapan peratus berbanding tahun sebelumnya," menurut kenyataan itu.

Ketua Pegawai Operasi Gogolook, Manwoo Joo pula berkata, laporan itu menekankan kepentingan pencegahan penipuan yang proaktif dalam landskap digital masa kini.

"Dengan aplikasi pencegahan penipuan canggih seperti Whoscall berfungsi sebagai barisan pertahanan pertama terhadap penipu, kita boleh mengurangkan risiko menjadi mangsa secara signifikan.

"Matlamat kami adalah untuk memanfaatkan penyelesaian terkini bagi menyediakan rakyat Malaysia dengan peralatan yang mereka perlukan untuk mengenal pasti dan menghentikan penipuan sebelum ia menyebabkan kerugian," katanya.

Laporan State of Scam 2024, yang disediakan oleh Perikatan Anti-Scam Global (GASA) dengan kerjasama Whoscall dan ScamAdviser, melibatkan kaji selidik ke atas 1,202 rakyat Malaysia dan memberikan pandangan kritikal mengenai usaha berterusan negara memerangi skim penipuan. - Bernama