KUALA PILAH - Takut dimarahi bapa kerana pulang ke rumah dengan berjalan kaki seorang diri, menyebabkan seorang kanak-kanak lelaki mereka cerita yang dia cuba diculik pada Khamis.
Kejadian itu turut tular di media sosial yang menyatakan kanak-kanak berusia 11 tahun terbabit cuba dibawa lari oleh individu tidak dikenali di hadapan pondok hentian bas berhadapan Sekolah Kebangsaan Kuala Pilah.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd Ali berkata, keluarga pelajar berkenaan telah membuat laporan polis berkenaan kejadian berlaku pada jam 4. 25 petang.
"Siasatan telah dijalankan terhadap mangsa yang pada awalnya menyatakan yang dia dihampiri seorang lelaki tidak dikenali memakai pakaian serba hitam dengan memandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV)
"Mangsa turut mendakwa dia dipegang oleh individu berkenaan sebelum berjaya melarikan diri," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Bagaimanapun katanya, hasil siasatan lanjut mendapati, kejadian yang dikatakan berlaku adalah tidak benar.
Jelasnya, mangsa hanya mereka cerita tentang kejadian yang berlaku kerana bimbang dimarahi bapanya.
"Ia disebabkan dia pulang berjalan kaki seorang diri ke Pekan Kuala Pilah tanpa pengetahuan bapanya.
Sehubungan itu ujarnya, orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian tersebut.