SELANGOR FC meraih tiga mata berharga selepas mengatasi cabaran kelab Filipina, Cebu FC 1-0 aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya sebentar tadi.
Dalam aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu skuad Gergasi Merah menekan kelab dari Filipina itu sejak awal permainan dan ia ternyata berhasil.
Pemain import, Yohandry Orozco menyambut baik hantaran Ronnie Fernandez untuk meletakkan tuan rumah di depan pada minit ke-10.
Jaringan itu menyuntik semangat anak buah Nidzam Jamil yang terus mengasak pasukan lawan.
Peluang menambah jaringan hadir menerusi kapten, Noor Al-Rawabdeh, namun ledakannya pada minit ke-30 dibatalkan kerana ofsaid.
Menjengah babak kedua, Nidzam membuat pertukaran apabila memasukkan pemain sensasi, Faisal Halim bagi menggantikan Alvin Fortes.
Pasukan tuan rumah terus mendominasi perlawanan, namun Cebu ampuh bertahan dan keputusan kekal sehingga wisel penamat.
Menerusi kemenangan itu, Selangor menokok empat mata setelah terikat 1-1 dengan Muangthong United dalam aksi pertama Kumpulan H pada 19 September lalu.
Sementara itu, Jeonbuk Hyundai Motors meneruskan momentum kecemerlangan apabila meraih kemenangan kedua selepas membelasah Muangthong United, 4-1 dalam satu lagi aksi yang berlangsung di Stadium Piala Dunia Jeonju.
Tiga mata diraih Jeonbuk menyaksikan kelab kendalian Kim Do-heon itu memimpin kumpulan dengan enam mata selepas membaham Cebu FC, 6-0 pada 19 September lalu.
Gol gergasi Korea Selatan itu dijelmakan oleh Moon Seon-min (m-50, m-59), Lee Yeong-jae (m-55) dan Tae-Ho Jin (m-84).
Sementara itu, Sorawit Panthong pula menyumbang gol saguhati buat kelab liga Thailand bimbingan Uthai Bunmo tersebut menerusi gol minit ke-66.