Raja Melayu perlu bersatu hati depani isu rakyat - Sultan Selangor

Iklan
Sultan Sharafuddin menerima menghadap Tunku Mahkota Ismail di Istana Selangor, Kuala Lumpur.Foto: Selangor Royal Office.

SHAH ALAM - Raja-raja Melayu perlu mempunyai kesatuan dan kesepaduan yang utuh serta bekerjasama sebagai satu pasukan ketika berdepan sebarang permasalahan rakyat.

Menerusi kenyataan di Selangor Royal Office, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, kefahaman itu penting kerana raja berperanan menaungi kesejahteraan hidup rakyat melangkaui agama dan isu-isu semasa lain.

Iklan
Iklan

Menurut kenyataan itu, baginda turut mengingatkan kerabat Diraja perlu mempamerkan adab budaya yang baik ketika muncul di khalayak umum atau di media sosial agar dihormati dan disayangi rakyat.

Pada masa sama baginda turut menzahirkan pandangan bahawa isu-isu sensitif membabitkan sesama Raja-Raja Melayu dielakkan dibincangkan di media-media sosial.

Iklan

"Mengenai bola sepak, kesefahaman telah dicapai bahawa tidak akan ada lagi perselisihan dan pertelagahan yang boleh mengundang permusuhan sehingga membawa kepada keganasan.

"Baginda menegaskan sekali lagi bahawa bola sepak adalah sukan rakyat yang telah sekian lama menyatupadukan masyarakat, justeru ia harus dipelihara dan dikekalkan sebagai salah satu wadah keharmonian negara," menurut kenyataan itu pada Khamis.

Iklan

Terdahulu, Sultan Sharafuddin menerima menghadap Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail di Istana Selangor, Kuala Lumpur pada 1 Oktober lalu.

Pertemuan selama lebih sejam itu, membincangkan pelbagai isu yang melibatkan institusi Diraja dan arena bola sepak tanah air.

Baginda menzahirkan ucapan terima kasih di atas keberangkatan Tunku Mahkota Ismail.

Baginda berasa sukacita dengan hasil pertemuan ini serta menerima baik isi kandungan warkah permohonan menghadap oleh Tunku Mahkota Ismail bertarikh 6 September lalu.