SUKAR untuk menerima hakikat bahawa insan yang tercinta telah pergi buat selamanya dan perasaan itu juga dirasai oleh suami kepada pelakon wanita terkenal Indonesia, Marissa Haque yang meninggal dunia pada Rabu.
Ikang Fawzi yang juga merupakan pelakon berusia 64 tahun masih diselubungi kesedihan selepas kematian mengejut isterinya itu.
Bagi Ikang, pemergian Marissa bukan sahaja meragut cinta sejatinya tetapi membuatkan hatinya kosong serta sukar diungkap dengan kata-kata.
"Isteriku yang tercinta, Allah.. telah meninggal,” ucapnya pada upacara pengebumian jenazah isterinya di TPU Tanah Kusir, Jakarta Selatan, Indonesia.
Memetik portal berita Voi.Id, Ikang yang tidak dapat menahan kesedihannya dilihat beberapa kali pengsan sebelum dibantu oleh orang ramai.
"Ikang sangat sedih, dia pengsan empat kali,” kata Addies MS yang juga rakan kepada pasangan suami isteri itu.
Meskipun, berat untuk dia menelan kesedihan itu, tetapi Ikang reda dengan ketentuan Illahi dan ikhlas dengan pemergian Marissa.
Dalam pada itu, beliau turut mengungkapkan kata cinta kepada Marissa dan menyayangi isterinya itu buat selamanya.
Ikang mendirikan rumah tangga dengan Marissa pada Julai 1986. Sepanjang bergelar suami isteri, pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata.
Pasangan itu mula berkenalan semasa membintangi filem Tinggal Landas Buat Kekasih yang diarahkan Sophan Sophiaan.
Marissa yang pernah mendaki puncak populariti sekitar tahun 80-an, meninggal dunia sekitar pukul 2 pagi Rabu. - Awani